SHAH ALAM - Cadangan kenaikan 30 peratus tambang bas sebelum musim perayaan ternyata tidak dipersetujui pelajar dan golongan muda.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, mereka menolak cadangan dikemukakan itu kerana dianggap tidak berpatutan.

Juruukur bahan, Muhd Faris Aziz Mohd Nor, 24, berkata, sekiranya cadangan kenaikan sebanyak 30 peratus itu dilaksanakan, ia bakal membebankan pengguna.

Muhd Faris berkata, kebanyakan pihak menggunakan bas untuk pulang beraya terdiri daripada pelajar dan tidak mempunyai kenderaan.

Menurutnya, dia merasakan caj tambahan itu hampir menyamai 50 peratus yang disifatkan sangat tinggi.

“Saya biasanya pulang ke kampung di Kelantan untuk beraya dan jika tambang naik memang rasa sangat bebannya.

“Saya fikir cadangan kenaikan itu juga agak melampau. Harap cadangan ini tidak dilaksana,” katanya ketika ditemui di Seksyen 2, semalam.

Pelajar, Nurhazirah Ismail, 22, berkata, dia tidak bersetuju cadangan itu yang dianggapnya mahal.

Menurutnya, dia berharap harga tambang sama seperti sebelum ini.

“Pelajar seperti saya mana ada duit banyak sangat. Harap harga akan tetap kekal macam sebelum ini,” katanya.

Nurhazirah berkata, dia turut mencadangkan supaya pengusaha syarikat bas meningkatkan mutu perkhidmatan.

Menurutnya, jumlah tiket sempena musim perayaan perlu ditambah bagi memudahkan pengguna untuk mengelak kehabisan tiket.

Sementara itu, Intan Shafinas Ab Razak, 20, seorang pelajar berkata, cadangan seperti itu sememangnya tidak berpatutan dan dianggap mahal bagi pelajar sepertinya.

“Saya rasa memang tak patut dinaikkan dan harap ia kekal. Fikirkan rakyat kerana ia akan membebankan,” katanya.