Selasa, 25 Jun 2013

Syarikat sawit Malaysia di Indonesia diarah serah peta ladang mereka

 

KL TODAY

Syarikat minyak sawit Malaysia menerima arahan semalam untuk menyerahkan peta digital ladang-ladang mereka di Sumatera dalam masa 48 jam. Arahan dari Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) selepas laporan terdapat syarikat yang menjadi ahlinya terlibat dalam pembakaran hutan.RSPO, sebuah badan tidak berpaksikan keuntungan bagi pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit, telah mengenal pasti tiga syarikat-syarikat Malaysia yang merupakan sebahagian daripada organisasi mereka: Sime Darby, Tabung Haji Plantations dan Kuala Lumpur Kepong.

RSPO bercadang menganalisis lokasi ladang-ladang daripada peta kebakaran hutan yang diterbitkan oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) dan The National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA). Pertubuhan itu sedang menyiasat punca dan sebab kebakaran, diikuti dengan tindakan yang mungkin terhadap syarikat jika kecuaian ditemui.

Telah diperakui laporan Institut Penyelidikan Dunia menunjukkan beberapa sumber kebakaran – 47% daripada kebakaran adalah dari luar hutan atau ladang kelapa sawit, 27% di ladang-ladang kayu, 20% di ladang kelapa sawit, 4% di kawasan-kawasan dilindungi dan 1% di kawasan pembalakan.


“Sime Darby Berhad menyokong penuh inisiatif RSPO. Saya ingin mengulangi komitmen Sime Darby dan mematuhi sepenuhnya dasar pembakaran sifar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Sementara Kuala Lumpur Kepong telah bersetuju dalam satu kenyataan untuk menyerahkan peta digital ladang-ladang mereka kepada RSPO.

Dalam kenyataannya, RSPO menekankan kebakaran hutan lazim berlaku di tanah gambut, tanah dengan tumbuh-tumbuhan separa reput. Ia mencadangkan pihak berkuasa perlu membuat protokol landskap sebelum membenarkan sebarang pembangunan. Tetapi RSPO tidak menyatakan pihak berkuasa mana perlu menguatkuasakan ini.

Sepanjang minggu lalu, syarikat-syarikat telah menafikan penglibatan mereka dalam pembakaran hutan, menyalahkan kepada petani individu kerana membersihkan tanah dengan mencetuskan kebakaran hutan.

“Ingin saya maklumkan bahawa di dalam ladang milik syarikat Malaysia (Inti- atau pemilik ladang) telah diperuntukkan sebanyak 20 peratus untuk masyarakat di sekitar ladang Inti yang dimiliki oleh syarikat Malaysia itu,” kata Nor Hazlan Mutalib, setiausaha eksekutif Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (APIMI) kepada agensi berita nasional Bernama.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk melakukan pembakaran terbuka untuk kegiatan penanaman semula tanaman mereka,” tambahnya.

Di bawah skim dikenali sebagai Program Plasma oleh pemerintah Indonesia, syarikat tempatan dan antarabangsa perlu memberikan satu perlima daripada tanah kepada petani tempatan sebagai bantuan ekonomi dan sosial. – 25 Jun, 2013.

Putrajaya mahu Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyebabkan jerebu, tanpa mengira pemilikan. 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak terhadap pesalah-pesalah.

“Tidak kira sama ada syarikat-syarikat milik Malaysia, Singapura atau Indonesia. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang menyebabkan jerebu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Najib berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia pada Rabu untuk membincangkan mengenai isu jerebu.

Tiada ulasan: