Penumpang yang enggan membayar surcaj 10 peratus yang
ditetapkan pengusaha bas sempena musim perayaan boleh dikenakan tindakan
penguatkuasaan, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA)
memberi amaran hari ini.
Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali juga turut menegaskan tindakan
sama boleh dikenakan terhadap mana-mana pengusaha bas yang mengenakan
surcaj melebihi 10 peratus terhadap penumpang.
"Bagi meraikan semangat pada musim raya yang akan datang, saya
menyeru kepada semua penumpang dan pengusaha bas untuk menerima 10
peratus surcaj yang dibenarkan oleh SPAD," katanya merujuk kepada agensi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dalam satu kenyataan hari ini.
SPAD sebelum ini mengumumkan kenaikkan tambang bas 10 peratus
berkuatkuasa pada 8 Julai depan untuk tempoh musim perayaan pada Ogos.
Agensi pengangkutan itu berkata, pengendali bas ekpress dan tambahan
bagi perayaan Aidilfitri kali ini dibenarkan menaikkan kos berkenaan
dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 September 2013.
SPAD juga berkata, langkah itu dapat membantu dan menampung kos
pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan
berdasarkan permintaan tinggi daripada pengguna, terutamanya semasa
musim perayaan.
"Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa boleh diambil terhadap
mana-mana penumpang yang enggan membayar surcaj 10 peratus atau
mana-mana pengusaha bas yang mengenakan lebih daripada 10% surcaj yang
dibenarkan," kata Mohamad Ashfar.
Beliau juga turut menjelaskan, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,
pihaknya turut berkata tiada undang-undang yang menyatakan pengusaha bas
mesti menjual tiket mereka lebih awal.
"lni merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh setiap pengusaha
secara individu berdasarkan kepada model perniagaan mereka. Oleh itu
untuk perjalanan semasa musim Raya pengusaha bas akan mula menjual tiket
lebih awal berdasarkan model perniagaan mereka.
"Saya juga ingin memberi jaminan kepada semua penumpang bahawa
pengusaha bas akan berusaha untuk memastikan bahawa adanya bas yang
mencukupi untuk membolehkan semua orang pulang dengan selamat pada musim
Raya akan datang," katanya sebagai jaminan dalam kenyataan berkenaan.
Banyak pihak sebelum ini membantah kenaikan tambang bas sebanyak 30
peratus seperti dituntut PMBOA, atas alasan ia membebankan rakyat
terutamanya golongan pelajar dan menggesa perkara itu dikaji semula.
Turut difahamkan juga, tahun-tahun sebelum ini hanya bas tambahan
sahaja yang dibenar mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus.
SPAD bagaimanapun dalam penjelasan mereka berlata, permintaan PMBOA
itu mustahil ditunaikan sebelum hari raya kerana proses perundingan dan
kajian komprehensif masih dijalankan.
Mohamad Ashfar juga berkata, PMBOA telah mengadakan perbincangan
secara terperinci dengan pihak SPAD berkenaan permintaan mereka, dan
agensi itu turut menjelaskan kajian perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
"SPAD telah menjelaskan bahawa satu kajian terperinci perlu dijalankan dahulu untuk dikemukakan kepada Kabinet.
"Kabinet akan memberi kelulusan bagi sebarang kenaikan tambang bas
... Proses ini mungkin mengambil masa beberapa bulan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan