Black 505
Anggota polis bertungkus lumus menjaga lalu lintas ekoran perhimpunan 'Black 505' anjuran pembangkang ketika para peserta perhimpunan haram itu bergerak ke Padang Merbok hari ini. - Foto Bernama
 
BANGI - Meskipun pasukan keselamatan berjaya mengawal perhimpunan haram di Padang Merbok, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap pihak penganjur, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.
  
"Kita akan mengambil tindakan terhadap penganjur tersebut seperti mana sedia maklum di bawah Akta Perhimpunan Aman. Kita akan mengambil tindakan-tindakan susulan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Kejohanan Bola Sepak Terbuka dan Veteran 9 Sebelah Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini hari ini.
  
Ditanya jumlah kehadiran orang ramai yang dikatakan kurang berbanding sasaran Pakatan Rakyat, beliau berkata rakyat boleh menilai sendiri perkara itu.
  
"Kita melihat dari sudut keselamatan, kita dapat uruskan secara berkesan dan masyarakat boleh menilai tentang perhimpunan yang berlaku di Padang Merbok," katanya.
  
Pakatan Rakyat tetap meneruskan perhimpunan di Padang Merbok meskipun pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kebenaran untuk mereka menggunakan di lokasi itu. - Bernama