Ahad, 23 Jun 2013

Pakatan akan bawa isu jerebu ke Parlimen, sedia bekerjasama dengan BN

Oleh Mohd Farhan Darwis

Pakatan Rakyat (PR) akan membawa isu jerebu yang semakin kritikal di negara ini ke Parlimen yang akan bersidang esok dan bersedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), bagi memastikan masalah berkenaan tidak akan berulang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Jawatankuasa Kabinet perlu berbincang dalam kadar segera bagi mengatasi masalah jerebu, dan bukannya menunding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Keadaan semakin gawat, apa sahaja langkah yang perlu diambil perlu dilaksanakan," kata pemimpin pembangkang itu ketika sidang media selepas berucap di majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel De Palma, Ampang di sini.

"Buka setakat menunding siapa salah, kedua-duanya, Malaysia dan Indonesia perlu bersidang dan mencari penyelesaian," kata Ketua Umum PKR itu lagi, dan menambah tindakan segera juga perlu diambil terhadap syarikat Malaysia di Indonesia yang dikatakan terlibat menjadi punca kepada masalah jerebu.

"Syarikat kroni Malaysia terlibat, dan Malaysia perlu bertindak."

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Dr Balthasar Kambuaya sebelum ini berkata pihaknya telah mengenal pasti lapan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sedang disiasat kerana melakukan pembakaran di Riau dan Jambi, yang mengakibatkan jerebu sehingga memberi ancaman kepada negara jiran Malaysia dan Singapura.

Menurut Dr Balthasar, kesemua lapan syarikat itu dimiliki oleh para pelabur Malaysia dan kebakaran yang berlaku dikesan di bawah konsesi mereka.

Harus dibuat lebih awal dan di seluruh Johor, topeng muka itu perlu diedarkan lebih awal lagi. Saya rasa semua langkah perlu dilaksanakan lebih awal.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga turut menegaskan PR juga sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian dalam isu jerebu.

"Macam mana pun, kami dari pihak PR mengatakan tindakan awal seharusnya boleh diambil ... Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan, yang penting kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya, yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang media berkenaan.

Lim turut berkata, kerajaan juga seharusnya telah mula mengedarkan topeng percuma kepada penduduk terjejas akibat jerebu, dan mencadangkan penguatkuasaan ketat daripada Jabatan Alam Sekitar.

Indonesia telah berkata republik berkenaan telah mengenalpasti lapan syarikat berkenaan iaitu;PT Langgam Inti Hiberida; PT Bumi Rakksa Sejati; PT Tunggal Mitra Plantation;PT Udaya Loh Dinawi; PT Adei Plantation; PT Jatim Jaya Perkasa ;PT Multi Gambut Industri dan PT Mustika Agro Lestari.

Awal hari ini, Muar telah diisytihar darurat pagi ini selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap setinggi 750 sementara dua bandar di Melaka dicatatkan pada bacaan 300.

Bacaan IPU tertinggi di Malaysia adalah di Sarawak pada 1997 dengan bacaan 860.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata hari ini kedaan jerebu di tiga bandar telah mencapai tahap berbahaya.

Dua lagi bandar adalah Bukit Rambai pada 357 dan Bandaraya Melaka pada 364.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hassan pagi ini telah meminta pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan darurat di Muar hari ini.

MKN dijangka akan mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk tinggal dalam rumah dan mengarahkan sekolah di beberapa negeri terus ditutup.

Palanivel juga berkata, MKN akan mengadakan pembenihan awam serta merta untuk memastikan hujan membersihkan asap yang datang melalui Selat Melaka itu.

Bacaan IPU di bandar-bandar terpilih setakat pukul 8.00 pagi tadi adalah Pasir Gudang [123], Kemaman [140], Kelang [189], Balok Baru, Kuantan [137], Petaling Jaya [111], Johor Bahru [114], Shah Alam [104], Port  Dickson [168], Kota Tinggi [137] dan Banting [110].

Tiada ulasan: