Menurutnya, biarpun banyak kali berdepan dengan fitnah dan kadang-kadang tohmahan tidak berasas, namun perusahaan yang dijalankan sejak 1958 itu tetap utuh memasarkan kopi yang mampu memikat cita rasa golongan muda mahupun berusia.
"Kami bersyukur kerana mempunyai kekuatan tersendiri dan sehingga ke hari ini, 72 cawan kopi kami dihirup sesaat dan tahun ini kami menjangkakan jumlah itu bertambah mencecah 80 cawan hingga 100 cawan sesaat," katanya.
Apa yang paling dibanggakan jenama ini juga bakal menampilkan minuman sedia diminum dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
Kopi jenama Hang Tuah memasarkan 32 produk berasaskan kopi merangkumi jenis Robusta, Liberica,
dan Arabica.
"Pemasaran kami kini meliputi jualan secara runcit hingga ke peringkat kopi untuk golongan atasan, medium dan pasaran seperti hotel," katanya.
Beliau memberitahu, bagi pasaran runcit, kopi Hang Tuah boleh didapati pasar raya terpilih seluruh negara dan turut dijual di 60,000 restoran seluruh negara.
Bagi menjamin ketahanan produk, jenama ini satu-satunya produk yang ketika ini menggunakan pengecasan gas keluar dalam pembungkusan untuk kekal baik sehingga tiga bulan selain menjamin aroma tidak hilang dan rasa masam.
"Ini adalah piawaian yang kami tetapkan untuk kekalkan kualiti; dalam industri ini, kami adalah pelopor teknologi pembungkusan ini di Malaysia," katanya.
Bagi memastikan tahap pembungkusan dijamin berkualiti, syarikat tersebut membelanjakan RM3 juta sejak 2002 untuk tujuan tersebut. Produk utama Kopi Hang Tuah adalah Kopi 'O' dan syarikat mempunyai nilai stok kopi bernilai RM1.5 juta sebulan. Produk yang sering mendapat permintaan banyak adalah 2 in 1 dan Kopi 'O'.
"Kilang kami kompleks P3, mengeluarkan 80 tan kopi setiap bulan dan lebih daripada 20,000 kotak pelbagai jenis produk kopi setiap hari," katanya.
Tuah gah di luar negara
Jenama Kopi Hang Tuah terus gah di persada antarabangsa apabila semakin diterima ramai dengan anggaran satu kontena dieksport dalam tempoh sebulan.
"Kopi Hang Tuah kini dieksport ke Hong Kong, Australia, Brunei, China, Singapura, United Kingdom, dan dalam percubaan ke Korea," katanya.
Menurutnya, cabaran yang paling besar untuk meneroka pasaran luar adalah dari segi kos dan perlu mengikuti peraturan sesebuah negara. "Kami sudah menghentikan bekalan ke Thailand kerana pihak kerajaan negara tersebut mewajibkan agar semua produk yang ingin dipasarkan ke sana perlu menggunakan bahasa Thai, jadi agak sukar untuk kami berbuat demikian. Justeru, kami terus fokus terhadap pasaran tempatan yang sememangnya menjanjikan keuntungan," katanya.
Melihat permintaan dan industri ini semakin diterima ramai setiap masa, syarikat menjangkakan perolehan tahun ini mencecah RM15 juta terus meningkat berbanding RM12 juta tahun lalu, yang disokong jualan dalam dan luar negara bagi produk sedia ada dan baru.
INFO
-Syarikat Hang Tuah Sdn. Bhd, sebuah syarikat pengeluar serbuk kopi campuran yang komited dalam pembangunan produk bagi memastikan pengeluaran produk yang halal, berkualiti tinggi dan terjamin.
-Syarikat membuat pelaburan besar dengan membeli mesin baru, menggunakan teknologi dan metodologi Sepanyol yang berteknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran.
-Syarikat juga meneruskan usaha mengembangkan perniagaan ke luar negara dan membangunkan jenama Hang Tuah di pasaran domestik.
-Bermula dengan perusahaan menjual kopi secara kecil-kecilan di Sungai Lokan, Seberang Perai, Pulau Pinang, kini Syarikat Hang Tuah Sdn. Bhd. boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai antara pengedar utama produk kopi di Malaysia.
-Sejak ditubuhkan pada 1958, hasil pajakan tanah pengasasnya, Zainal Said, syarikat tersebut kini semakin berkembang pesat.
-Mempraktikan lima prinsip yang menjadi kekuatan perniagaan antaranya, pembangunan sumber manusia, metodologi kerja dalam kerangka yang mudah, menggunakan mesin dan teknologi terkini sesuai dengan industri, pemilihan bahan mentah berkualiti tinggi, dan persekitaran dinamik.
-Untuk menjadi organisasi mesra alam, kilang pemprosesan dilengkapi dengan Sistem Kawalan asap. Sistem ini untuk mengawal dan menapis asap yang sedang dihasilkan oleh kemudahan ini dengan hanya membenarkan asap bersih (tiada jelaga hitam atau bau) untuk melepaskan ke persekitaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan