Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan SSAAS, semalam.
 
SHAH ALAM – Syabas diminta lebih cekap dalam menyelesaikan kejadian paip bocor selain memantau loji serta rumah pam bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kehidupan pengguna di Lembah Klang dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kerja penyelenggaraan yang dibuat syarikat konsesi itu dalam memastikan bekalan air terawat mencukupi.

“Oleh kerana isu penyusunan semula industri air kita akan bincangkan dengan kementerian berkaitan minggu depan, kita juga memantau kerja yang dibuat Syabas supaya bekalan air terawat berterusan.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga memaklumkan paras air di semua kolam takungan di negeri ini dalam keadaan memuaskan walaupun cuaca panas ketika ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengemukakan permohonan untuk membuat kerja penggantian injap sluis (Sluice Valve) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).

Beliau berkata, kerja penggantian itu memerlukan operasi separuh daripada loji berkenaan perlu dihentikan selama lapan jam, kelmarin.

“Kerja penggantian berjadual ini menyebabkan gangguan bekalan air di Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air ke kawasan Petaling dan Kuala Lumpur.

“Pihak SPLASH telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna air dan kerja penggantian injap sluis itu telah siap sepenuhnya jam 4 petang semalam (kelmarin) dan loji berkenaan telah beroperasi secara normal dengan membekalkan 750 juta liter sehari.

“Kita dimaklumkan bekalan air sepatutnya telah kembali pulih sepenuhnya pagi hari ini  (semalam) kecuali kawasan tinggi yang mengambil sedikit masa kerana masalah tekanan air rendah,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air dengan cermat sebagai langkah berjaga-jaga.