Isnin, 24 Jun 2013

Ketika Jerebu Kritikal, “Menteri Fikir Pasal Panda”


pimpinan pakatan konvensyen 23 jun 01

KUALA LUMPUR  : Pakatan Rakyat (PR) membidas Kerajaan Persekutuan kerana lambat bertindak terhadap masalah jerebu yang telah menyelubungi negara ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR berpandangan jawatankuasa kabinet harus bersidang segera bagi membincangkan langkah bagi mengatasinya dengan cepat.

“Saya agak kesal kerana tindakan masih perlahan kerana apa dinyatakan menteri (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel) hanya akan bertindak pada Rabu depan.

“Keadaan kini gawat. Kalau ikut pengalaman pada 1997, jawatankuasa kabinet terus digerakkan dan semua jentera kerajaan dikerahkan untuk lakukan apa saja langkah bagi mengurangkannya,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Kepimpinan PR di sini hari ini.

Anwar menjelaskan bukan masanya bagi kerajaan Indonesia dan Malaysia menuding jari menyalahkan sesiapa dalam perkara berkenaan.

“Saya fikir perlu ada tindakan tegas oleh kerajaan Indonesia kerana kesalahan itu dilakukan di Indonesia.
“Malaysia juga tidak boleh berdiam diri kerana bila syarikat kroni Malaysia terlibat maka Malaysia harus bertindak. Ini soal keselamatan rakyat yang harus diambilkira,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sepatutnya tindakan awal dilakukan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) mencecah paras 300 (tidak sihat) seperti berlaku di Johor.

Katanya, topeng muka seharusnya diedarkan kepada umum lebih awal apabila masalah berlaku.

“Kita sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menangani krisis ini.

“Palanivel lebih pentingkan (rumah penempatan) panda daripada jerebu. Kalau jerebu macam ini, China mungkin tidak menghantar panda ke Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: