Selasa, 25 Jun 2013

Jerebu Bertambah Buruk : JAS Selangor Arah Kilang Kurangkan Pengeluaran Hingga 30 Peratus


jerebu-masjid1

SHAH ALAM: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada sebelah petang di beberapa kawasan yang mengalami jerebu di Selangor petang ini didapati mencatatkan peningkatan berbanding bacaan yang dicatatkan pada petang semalam dan pada jam 7.00 pagi tadi.

Di Pelabuhan Klang kualiti udara sehingga jam 5.00 petang tadi menunjukkan bacaan melepasi 317, di Banting pula mencatatkan bacaan lebih 200.

Sementara itu di Shah Alam pula mencatat IPU 171 dan Petaling Jaya 196, iaitu mendekati ke tahap sangat tidak sihat.

Justeru, menurut Exco Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan arahan agar kilang perindustrian yang terletak di daerah yang mempunyai bacaan IPU pada tahap merbahaya agar mengurangkan pengeluaran mereka sehingga 30 peratus.

“Di Pelabuhan Klang oleh kerana tahap jerebu di kawasan tersebut telah mencecah lebih 300, jadi kalau kita ikut pelan tindakan Prosedur Arahan Tetap (SOP) menangani jerebu, beberapa kilang di kawasan Klang akan diberi arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengurangkan pengeluaran mereka sampai 30 peratus supaya tidak menambah kepada kualiti udara yang semakin merosot,” kata Elizabeth Wong ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau lagi arahan tersebut dikeluarkan cecara automatik berdasarkan SOP yang terdapat dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh jabatan itu.

Menurut Elizabeth, Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini turut menjangkakan beberapa kawasan di Selangor bakal menerima sedikit hujan dalam minggu ini.

“Saya jangka keadaan ini mungkin tidak ada perubahan yang besar selagi api di Sumatera tidak dipadamkan, cuma sekarang kita melihat di mana arah angin sekarang bertiup ke utara, jadi ada kemungkinan jerebu itu boleh keluar dari Lembah Klang dalam beberapa hari yang akan datang.

“Tambahan pula Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan minggu ini kita akan mendapat sedikit hujan. Itu boleh menolong dari segi kualiti udara,” kata beliau lagi.

Berdasarkan indeks kualiti udara, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Tiada ulasan: