Mohammad Faizal Che Yusof, |
Potongan makna ayat-ayat berikut cukup untuk merangsang setiap individu bergelar muslim bermati-matian memperjuangkan Islam agar ia didaulatkan.
1. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah 71)
2. "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"
"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Al-Saff ayat 10-12)
3. “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu h idup, tetapi kamu tidak menyadarinya. (Al-Baqarah: 154)
Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tuntutan untuk didokong bersama oleh setiap individu mukmin. Berusaha sedaya mampu bagi tertegaknya syariat Islam dalam sistem demokrasi berparlimen adalah antara urusan kebaikan yang mesti dilakukan.
Demikian pula mengekang setiap kepincangan dalam pilihan raya dan menyatakan pendirian terhadap setiap usaha untuk menghalang Islam didaulatkan adalah termasuk dalam mencegah kemunkaran.
Sekurang-kurangnya itulah urusan jihad pada masa kini iaitu sedaya mungkin meletakkan kalimah tauhid pada tempat teratas dalam era moden termasuklah dalam amalan demokrasi berparlimen.
Allah S.W.T. juga telah mendedahkan mereka yang gugur dalam usaha mendaulatkan agamanya diberi tempat istimewa dan ia bukan lagi rahsia. Sesungguhnya itulah yang difahami dan digenggam erat oleh setiap pejuang kalimah tauhid. Jangan kita menjadikan kejahilan terus berjerebu di hati hingga kita gagal memahami rangsangan dakwah ini.
Dalam pada itu, baginda Rasul Allah S.A.W telah menyediakan satu pedoman iaitu pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis baginda yang bermaksud: Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim".
Kepincangan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukan lagi rahsia. Sebaik pembentukan kerajaan, New York Times dalam laporannya bertajuk “Malaysia's Governing Coalition Retains Power” telah mula mendedahkan apa yang berlaku. Laporan 5 Mei tersebut disusuli pula dengan analisa ketidaktentuan dalam senario pembentukan kerajaan pada keesokan harinya dalam laporan bertajuk “Close Election Leaves the Fate of Malaysia’s Premier Uncertain”.
Dalam suasana semasa, antara usaha bagi menyatakan pendirian atas kebenaran dan menunjukkan protes kepada pemerintah termasuklah mengadakan perhimpunan secara aman. Ia bukanlah dibuat suka-suka. Rakyat kian faham bahawa itu adalah hak dan tanggungjawab mereka yang dijamin oleh undang-undang tertinggi Negara, iaini Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan, peruntukan berkaitan hak-hak asasi rakyat.
Dalam beberapa siri tuntutan utama rakyat seperti himpunan mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009, Bersih 2.0 (9 Julai 2010), Bersih 3 (28 April 2011), Himpunan Kebangkitan Rakyat (12 Januari 2013) dan terkini Black 505 pada 22 Jun yang lalu, tanpa provokasi, rakyat mampu berhimpun secara aman untuk menyatakan pendirian.
Tidak ragu lagi bahawa rakyat terlalu mengimpikan kebenaran dizahirkan. Tuntutan untuk satu suruhanjaya bebas diraja bagi merungkai segala macam onar dalam PRU13 adalah antara langkah bijak yang boleh diambil. Telah banyak berlaku dalam negara, hanya melalui suruhanjaya bebas diraja sahajalah apa yang tersembunyi sebelumnya akan terdedah.
Dalam pada itu, selaku pejuang kebenaran, teruslah berpegang dengan tali Allah kerana itu sahajalah penyelamat terbaik kita di dunia, mahupun akhirat. Seruan jihad adalah rangsangan dakwah dan bukan suatu hasutan yang penuh dengan jerebu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan