Jumaat, 21 Jun 2013
DAP desak Akta Kualiti Alam Sekitar dipinda untuk hukum pesalah jerebu
Satu usul akan dikemukakan DAP sebaik sahaja sidang Parlimen dibuka bagi mendesak pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar untuk menghukum pihak tidak bertanggungjawab sebagai punca masalah jerebu, ia ekoran tuduhan Menteri Kanan Indonesia, Agung Laksono mengatakan syarikat Malaysia yang bertanggungjawab membakar hutan dengan sengaja.
Jerebu yang bermula di selatan tanah air kini sudah merebak ke Negeri Sembilan, dua kawasan di Johor iaitu Pasir Gudang dan Kota Tinggi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya pada 310 dan 313 masing-masing.
"Saya akan mengarahkan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching untuk mengemukakan cadangan tersebut melalui suatu usul segera di Parlimen minggu hadapan," katan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.
"Undang-undang tersebut akan membenarkan Malaysia mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia yang menyumbang atau bertanggungjawab atau pun memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam kebakaran merentas sempadan di Indonesia," tambahnya lagi.
Lim juga turut menggesa supaya kerajaan Indonesia sendiri mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang didakwa mereka sebagai punca pembakaran hutan tersebut, serta menggesa negara jiran tersebut menandatangani Perjanjian Southeast Asian Transboundary Haze Agreement (SEATHA).
"Indonesia harus bertanggungjawab penuh di atas kegagalannya memenuhi tuntutan antarabangsa kepada ASEAN dan Malaysia di bawah rancangan kerjasama pencemaran rentas sempadan ASEAN untuk mencegah jerebu," tegas Lim lagi, sambil mendesak Putrajaya untuk menekan negara jiran tersebut menandatangani perjanjian tersebut.
Masalah jerebu kali ini bukan yang kali pertama berlaku, malah Malaysia dan negara jiran lain terpaksa berhadapan sejak 20 tahun dulu dan hingga kini tidak menemui jalan penyelesaian.
Malaysia telah mengalami dua jerebu teruk setakat ini, satu pada tahun 1997 dan satu lagi pada tahun 2005.
Pada September 1997, di saat indeks pencemaran udara di Sarawak melampaui paras 600, kerajaan terpaksa mengumumkan darurat, sehingga hanya farmasi, klinik, kedai dan perkhidmatan keperluan sahaja yang dibenarkan beroperasi, mengakibatkan kerugian ekonomi bernilai hampir $9 bilion di Asia Tenggara.
Bagi menangani masalah tersebut daripada terus merebak, Lim juga menggesa agar Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pembenihan awan dengan segera di tempat-tempat yang paling teruk dilanda jerebu disamping memantau sebarang pembakaran terbuka.
Ekoran masalah jerebu yang melanda di Johor, Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani memaklumkan bahawa 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup sehingga makluman lanjut diberitahu.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga memaklumkan jumlah kes pesakit akibat jerebu di negeri itu terutama masalah Upper Respiratory Tract (URTI) meningkat sebanyak 21 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.
Tahap IPU dikategori sebagai bahaya apabila bacaan mencecah 301 dan lebih, sangat tidak sihat (201 hingga 300), tidak sihat (101 hingga 200), sederhana (51 hingga 100) dan sihat pada kosong hingga 50.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak bertanggungjawab menggerakkan sistem pemantauan kesihatan bagi mengesan penyakit berkaitan jerebu.
Beliau turut menekankan bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.
Walaupun terdapat amaran terhadap masalah jerebu yang semakin parah, Pakatan Rakyat (PR) tetap berkeras akan meneruskan perhimpunan Black505 pada Sabtu ini.
"Menurut laporan API, Selangor belum mencapai tahap merbahaya 100 dan ke atas," kata Pengarah Strategi PKR Rafizi semalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan