Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
KUALA LUMPUR - Reaksi beberapa anggota Parlimen mewakili pakatan pembangkang dilihat seolah-olah mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, titah Seri Paduka itu "boleh dibahas, dipertikai dan dibantah daripada segi hujah kerana fakta yang dikemukakan adalah dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dalam amalan demokrasi berparlimen, titah (Yang di-Pertuan) Agong bukan arahan, ia adalah untuk dibahaskan. Kalau arahan buat apa nak dibahaskan.

"Tuanku berucap berdasarkan usul Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan pertimbangkan di Parlimen dan bahas," kata Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Antara lain, Tuanku Abdul Halim menggesa semua pihak menerima dan menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) serta bekerjasama untuk membolehkan matlamat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 tercapai.

Ditanya sama ada pembangkang akan terus mengadakan apa yang dipanggil perhimpunan 'Blackout 505' untuk mempertikai keputusan PRU13 berikutan titah Tuanku Abdul Halim itu, Anwar berkata: "Ucapan itu dicadangkan oleh perdana menteri."

Anggota Parlimen Bukit Katil dari PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata titah Seri Paduka tentang keputusan PRU13 "merupakan pendirian kerajaan BN dan keputusan PRU itu boleh dipertikai di mahkamah".

"Tidak bermakna ia (keputusan PRU13) tidak boleh langsung dipertikai melalui saluran mahkamah dan ini yang kita sedang lakukan sekarang," katanya.

Dalam pada itu, titah Tuanku Abdul Halim supaya semua pihak bekerjasama dan membuang sifat-sifat yang membawa perpecahan dan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk mengeratkan perpaduan mendapat reaksi positif anggota Parlimen Temerloh dari Pas, Nasrudin Hassan Tantawi.

Beliau mengalu-alukan sebarang kerjasama antara kerajaan dan pembangkang asalkan ia berlandaskan Islam serta membawa kebaikan kepada rakyat. 

"Maksud kerjasama baik seperti diajar dalam Islam ialah yang mendatangkan kebaikan, bukan kerjasama dalam perkara yang boleh membawa mudarat dan permusuhan," kata Nasrudin.

Mengenai keputusan PRU13, Ketua Pemuda Pas itu berkata: "Kita terima keputusan PRU13 dan kerana itu pembangkang telah datang angkat sumpah (sebagai anggota Dewan Rakyat semalam)."

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dari PKR berkata selaku pengarah perhimpunan Blackout 505, beliau tidak mempunyai rancangan untuk meneruskannya.

Menurutnya, menerima keputusan PRU13 tidak bermakna menutup apa yang didakwanya sebagai "kecurangan" yang berlaku semasa pilihan raya itu.

Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS pula berkata kerajaan mahupun pembangkang perlu memainkan peranan berkesan dalam memastikan rakyat dan negara sentiasa membangun ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, Anggota Parlimen Ampang dari PKR, Zuraidah Kamaruddin menyambut baik penekanan Tuanku Abdul Halim berhubung kepentingan institusi keluarga dan peranan wanita dalam memajukan negara.

"Pengukuhan institusi keluarga perlu dilakukan sekarang, menteri (berkenaan) yang baharu perlu ambil langkah proaktif untuk meningkatkan guna tenaga wanita di negara ini," katanya.  - Bernama