Selasa, 25 Jun 2013

Altantuya: Tiada niat bersama antara dua tertuduh

Oleh Rita Jong

Hakim perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu gagal untuk mendapatkan penemuan mengenai niat bersama diantara dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang disabitkan kerana pembunuhan warga Mongolia itu.

Ini merupakan pemerhatian Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Linton Albert yang mengatakan niat bersama membentuk sebahagian daripada pendakwaan.

“Akan tetapi hakim perbicaraan tidak mendapat apa-apa penemuan tentang ini,” kata Albert.

Timbalan Peguam Cara Negara III Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengakui hakim itu tidak menyentuh mengenai niat bersama akan tetapi mengatakan beliau merujuk kepada kedua-dua tertuduh sebagai tertuduh pertama dan kedua.

Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mengetuai tiga panel hakim kemudian berkata: “ Beliau (hakim perbicaraan) tidak menyatakan langsung, apakah tiada dalam alasan penghakiman. Kelakar kan?”
Terdapat ketawa kecil dari galeri awam tetapi Albert tidak memberikan reaksi.

“Bagi dua orang tertuduh yang akan berhadapan dengan hukuman, ini tidak kelakar,” kata Albert.

Tun Abdul Majib kemudiannya berkata, walaupun perbicaraan tiada halatuju, mereka mempunyai cukup bukti bagi membuktikan kes mereka.

Apandi kemudiannya menambah: “Manusia boleh merancang, Tuhan menentukan. Mungkin tiada halatuju merupakan campur tangan Ilahi. Anda mungkin mempunyai kes yang kukuh, tetapi tiada halatuju hakim boleh menjadi kerja Tuhan. "

Terdahulu, Tun Abdul Majid, dalam penghujahannya berkata mereka tidak pernah mengatakan bahan letupan yang digunakan dalam kes pembunuhan Altantuya adalah C4.

"C4 adalah nama tertentu bahan letupan yang tidak pernah ada dalam bahan bukti. Kami tidak pernah berkata bahan letupan yang digunakan adalah C4," katanya.

Beliau berkata, saksi-saksi semasa perbicaraan telah memberi keterangan pegawai UTK itu telah dilatih dalam menggunakan bahan letupan dan mempunyai akses terhadap bahan-bahan itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan keputusan kes rayuan itu, ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Pada 9 April 2009, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman maut kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 19 dan 20 Oktober, 2006.

Tiada ulasan: