Rabu, 8 Mei 2013

Hujan lebat lebih lapan jam

Wartawan Sinar Harian
hujan lebat Penduduk, Sapar Isnin, 50, (kiri) dan rakannya melihat kawasan rumah yang dinaiki air selepas hujan lebat malam kelmarin di Kampung Rantau Panjang.
 
BESTARI JAYA - Hujan lebat lebih lapan jam menyebabkan kawasan penempatan penduduk berhampiran Sungai Selangor di Rantau Panjang, di sini dinaiki air secara mendadak sehingga paras pinggang menyebabkan 31 keluarga terpaksa ditempatkan di Balairaya Kampung Rantau Panjang bermula jam 10 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Rantau Panjang, Rahim Mohd Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan hujan lebat tanpa henti menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rumah penduduk sehingga menyebabkan 97 penduduk resah rumah dinaiki air.

Menurutnya, pihaknya mengambil langkah awal untuk menempatkan penduduk ke kawasan penempatan banjir dengan bantuan penduduk, anggota Jabatan Pertahanan Awam dan polis sementara menunggu bantuan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor (PTDKS).

“Tindakan pantas penduduk untuk berpindah ke kawasan lebih selamat mampu mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan limpahan air sungai naik mendadak dan melimpah ke kawasan rumah penduduk di kawasan lebih rendah.

“Mangsa banjir turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor yang baru, Datuk Irmohizam yang melawat keadaan mereka sebaik sahaja menerima laporan banjir di kawasan ini,” katanya.
Rahim berkata, setakat ini makanan dan minuman disediakan jawatankuasa kampung memandangkan belum menerima bantuan daripada agensi berkaitan dan berharap musibah banjir yang berlaku segera pulih seperti sedia kala.

“Sememangnya diakui beberapa penempatan penduduk di kawasan ini sering dinaiki air sekiranya hujan lebat tanpa henti dalam tempoh yang lama dan keadaan itu tidak dapat dielakkan berikutan rumah berhampiran dengan sungai.

“Bagaimanapun, bantuan yang diterima sebelum ini amat memuaskan dan penduduk selesa tinggal di balai raya yang disediakan untuk sementara waktu sebelum dibenarkan pulang ke rumah oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sinar Harian difahamkan kali terakhir kawasan itu dinaiki air pada 5 Mac setahun lalu melibatkan 71 keluarga dan pada tarikh itu, musibah banjir turut dilaporkan berlaku di lima kampung di Jeram iaitu Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cheraka, Parit Mahang, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Kuching Hilir.

Tiada ulasan: