Rabu, 8 Mei 2013

BN kaji kemerosotan 7 kerusi

HASLINA KAMALUDIN

BN kaji kemerosotan 7 kerusi
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan beberapa ahli Parlimen BN sebelum majlis perjumpaan khas, semalam.
 
KUALA LUMPUR - Kajian terperinci akan dibuat oleh Barisan Nasional (BN) bagi mengenal pasti punca kekalahan tujuh kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, kajian tersebut akan dibuat pada masa terdekat demi memastikan perkara sama tidak akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pendekatan tersebut sebagai langkah pertama sebelum parti itu bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Kita akan cari apakah punca kelemahan kita. Banyak penipuan dilakukan pihak pembangkang dan kini kita mahu rakyat sedar perkara sebenar.

"Sebagai parti pemerintah, kita akan beri yang terbaik kepada rakyat dan menangani penipuan ini," katanya selepas perjumpaan bersama anggota Parlimen, di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Katanya, rakyat sudah banyak termakan janji kosong pembangkang dan perkara itu perlu diselesaikan segera demi kestabilan negara ini.

"Semua pihak harus memainkan peranan untuk memberitahu perkara sebenar kepada rakyat termasuk media.

"Kita tidak mahu rakyat terus berharap dengan janji palsu pembangkang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi membuat kajian secara menyeluruh.

"Ini penting untuk BN berdepan pilihan raya akan datang. Ia tidak tertumpu Parlimen sahaja sebaliknya Dun juga akan diberi penekanan.

"Jawatankuasa ini akan pantau semua termasuk isu Tsunami Cina yang mana ia berlaku kerana dikatakan kaum Cina tidak menerima manfaat daripada BN sedangkan sejak empat tahun dulu, kerajaan sudah melunaskan permintaan mereka," katanya.

Pendapat sama turut diusulkan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menegaskan kelemahan paling ketara BN dalam PRU13 adalah disebabkan isu perkauman yang didakwa dimainkan pembangkang.

"Generasi muda dilihat ramai terpengaruh dengan kempen pembangkang untuk benci BN apabila menggunakan sentimen perkauman.

"Ia bukan satu perkara kecil dan untuk itu, satu pendekatan akan diambil bagi mengkaji punca, seterusnya memperbaikinya," katanya.

Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyifatkan kemenangan BN pada PRU13 adalah di atas kepercayaan rakyat.

"Rakyat tahu BN boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dizahirkan menerusi undi mereka. Tetapi, kita akan mencari kelemahan dan memperbaikinya demi rakyat negara ini," katanya.

Tiada ulasan: