Khamis, 2 Mei 2013

Ambiga ragui dakwat kekal selepas kegagalan semasa pengundian awal


TERKINI
Oleh Emily Ding

 Ambiga (tengah) berkata SPR harus dedahkan semua garis paunduan mereka kepada kakitangan. - Gambar fail PETALING JAYA— Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendedahkan kepada umum garis panduan kakitangan mereka  berkenaan dengan penggunaan dakwat kekal untuk pilihan raya umum ke 13.

Beliau mengatakan alasan SPR semalam berkenaan kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi disebabkan oleh kakitangan mereka tidak menggoncangkan botol dakwat tersebut.

“Adalah penting SPR dedahkan semua garis paunduan mereka kepada kakitangan,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di sini.

“Adakah ianya dakwat kekal atau tidak? Tidak sepatutnya ada masalah sama ada botolnya digoncangkan atau tidak.”

SPR hari ini membuktikan kepada wakil-wakil media dalam satu demonstrasi khas di sini bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jari pengundi memang tidak boleh dipadamkan.

Demonstrasi khas itu dibuat untuk wakil-wakil organisasi media tempatan bagi menangkis dakwaan pihak tertentu kononnya dakwat kekal yang digunakan untuk pilihan raya umum ke-13 boleh dihilangkan dengan mengelap atau membasuhnya dengan air.

Setiausahanya Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dan para pegawai SPR membuat demonstrasi itu melibatkan seorang petugas media tempatan dan disaksikan oleh rakan-rakan sejawatan mereka.

Dalam demonstrasi itu, ternyata percubaan petugas media berkenaan untuk memadamkan kesan dakwat yang dicalit pada ruas pertama jari telunjuknya termasuk bahagian kuku tidak berhasil meskipun menggunakan beberapa bahan pencuci.

Dakwat yang digunakan dalam demonstrasi tersebut adalah sama dengan yang digunakan oleh SPR bagi pengundian awal, katanya kepada sidang media di Pusat Media SPR di sini.

SPR semalam menjelaskan bahawa kejadian dakwat kekal yang dicalit pada jari pengundi awal berjaya ditanggalkan kerana petugas SPR terbabit tidak menggoncang botol dakwat sebelum menggunakannya.

Kamaruddin, pada majlis itu, turut mengedar senarai peraturan yang perlu diikuti kerani atau petugas SPR di pusat mengundi pada hari mengundi Ahad ini.

Tiada ulasan: