Khamis, 2 Mei 2013

4,000 keluarga bakal dihalau angkara janji Najib

Roketkini.com




GEORGE TOWN, : Nampaknya begitu terdesak sekali Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menabur janji sehingga tidak sedar bahawa bagi melunaskan janjinya itu, 4,000 keluarga bakal hilang tempat tinggal.


Perdana Menteri sementara, Najib Razak telah mengejutkan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengumumkan pembelian tanah di tiga kawasan kononnya bagi membina rumah kos rendah dan rumah mampu milik.

Setiausaha Agung DAP merangkap Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya berkata, tindakan itu adalah suatu penghinaan terhadap 4,000 keluarga yang bakal diusir bagi memberi jalan kepada janji Najib itu.

“Mengapakah BN dan Najib berperangai buruk sebegitu dengan tidak berunding dahulu dengan 4,000 keluarga tetapi hanya terus mahu meranapkan rumah mereka dengan satu pengumuman sahaja tanpa memaklumkan mereka?” ujar beliau.

Dalam satu majlis BN semalam, Najib mengumumkan bahawa melalui 1Malaysia Development Berhad, beliau telah menandatangani perjanjian beli tanah di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong bagi membina 2,222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1,111 rumah mampu milik.

“Jelas sekali Najib sangat terdesak sehingga membuat janji kosong untuk membina 9,999 rumah mampu milik, satu janji yang tidak bernilai kerana ia dibuat betul-betul sebelum pilihan raya umum,” tambah Guan Eng.

Kitaran semula janji BN terhadap warga negeri Pulau Pinang terus diulang dengan tanpa segan silu termasuk untuk membina rumah tiga bilik bagi menggantikan rumah pangsa satu bilik di Kampung Melayu Ayer Itam serta janji membina monorail di Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng, kali terakhir janji itu diucapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop pada 2008 dan sehingga kini tidak pernah ditunaikan.

Beliau turut mencabar Najib untuk melaksanakan janji tersebut terutamanya projek monorail yang dijanjikan pada tahun 2006, yang gagal dilaksanakan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Najib Razak setelah mengambil alih kuasa.

“Jelaslah bahawa monorail atau tram hanya akan diwujudkan di Pulau Pinang apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang baru pada 5 Mei ini,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com

Tiada ulasan: