Sabtu, 25 Ogos 2012

TERKINI - CHEGU BARD BAKAL BERTANDING DI P.PINANG?

Oleh:  WFAUZDIN NS

BARU-BARU ini aku sempat bersembang dengan beberapa orang budak SAMM sempena kunjungan berhari raya.  Sudah tentu kami banyak bercerita tentang isu-isu politik semasa khususnya berkaitan aktiviti SAMM itu sendiri.

Di dalam perbualan kami, aku cuba bertanyakan pendapat dia orang tentang Chegu Bard, Penyelaras SAMM.  Di mana agaknya tokoh muda yang hebat ini bakal bertanding di dalam PRU akan datang?  Aku sendiri merasakan tentulah Chegu Bard akan bertanding semula di Parlimen Rembau, apatah lagi orang-orang Rembau kini memang mahukan Chegu Bard bertanding di situ.  Sebenarnya kerusi Parlimen Rembau dikatakan asalnya adalah Kerusi untuk PAS tetapi pada PRU 12 yang lalu Chegu Bard menawarkan diri untuk bertanding menentang Ketua Pemuda Umno KJ di situ.  PAS sudi meminjamkan kerusi tersebut untuk beri laluan kepada Chegu Bard.  Keputusan PRU 12 di Parlimen Rembau, pada awalnya berpihak kepada Chegu Bard tetapi seperti biasa undi subsidi tiba dan beliau tewas tipis kepada KJ.

Kali ini, di mana pula Chegu Bard akan bertanding?  Jika ikutkan pilihan Chegu Bard, aku yakin beliau pasti memilih untuk bertanding semula di situ memandangkan rakyat di Rembau amat senang dengan tokoh muda ini.  Apatah lagi beliau adalah Ketua Cabang KEADILAN Rembau.  Orang-orang PAS di Rembau juga amat senang dengan beliau sehinggakan diberitahu sekiranya bukan Chegu Bard yang bertanding di Rembau, PAS akan letakkan calon partinya di situ.

"Ada berita menarik", kata rakanku budak SAMM tersebut.  Kali ini PAS akan mengambil semula kerusi Parlimen Rembau.  "Habis tu, ke mana mahu diletakkan Chegu Bard?" tanyaku.  Member aku tersenyum, dengan bangganya dia menyebut, " Kali ini Chegu Bard, InsyaAllah, akan masuk ke Parlimen".
Semua tahu hubungan Chegu Bard dengan DS Anwar dan hampir seluruh kepimpinan tertinggi KEADILAN sekarang amat baik walaupun pada suatu ketika beliau dikatakan suka berperang dengan kepimpinan parti.  Sikap Chegu Bard yang tidak hipokrit dan tidak suka mengampu-ngampu pimpinan dan prinsipnya yang berpegang teguh kepada prinsip dan disiplin parti itulah yang menyebabkan beliau sering mengkritik kepimpinan.  Rupa-rupanya sikap beliau ini lah yang menyebabkan kepimpinan merasakan Chegu Bard adalah aset penting kepada parti.  Kepimpinan beliau di dalam SAMM amat berjaya dan berpengaruh.  Pada waktu tertentu beliau lantang mengkritik kepimpinan parti termasuk DS Anwar sendiri, tetapi apabila pihak musuh menyerang DS Anwar dan parti, Chegu Bard tampil mempertahankannya.

" Di mana Chegu Bard akan bertanding? Soal aku kepada temanku itu.  " Di negeri sebelah Utara," Jawabnya rengkas.  Aku termenung sekejap.  Tetapi apabila aku ingat balik, ada lojiknya kata-kata temanku itu.  Sebulan dua ini kita sering menyaksikan banyak aktiviti Chegu Bard dan aktiviti SAMM tertumpu di sebelah Utara.

Aku cuba meneka sendiri di negeri dan kawasan manakah Chegu Bard akan bertanding jika negeri sebelah Utara ditawarkan kepada beliau.  Kedah tidak mungkin.  Perlis jauh sekali.  Hanya satu iaitu di P.Pinang.  Ya, Chegu Bard kerap berkunjung ke sana sekarang.  Malahan dimaklumkan Himpunan SAMM peringkat Kebangsaan akan diadakan di Penang.  Tetapi di kawasan mana Chegu Bard akan bertanding? Walaupun temanku cuba untuk merahsiakan kawasan di mana Chegu Bard bertanding, aku dapat merasakan bahawa Chegu Bard tidak akan merampas kerusi rakan-rakan sendiri di dalam PR.  Jika itulah keadaannya, maka Chegu Bard pasti akan diletakkan di Parlimen Nibong Tebal.  Kerusi itu kini disandang oleh bekas MP KEADILAN yang kini menyertai Parti KITA iaitu YB Tan Tee Beng.

Amat tepat sekali jika benar beliau diletakkan di situ.  Chegu Bard bukan asing di negeri Utara kerana isteri beliau pun jika tidak salah aku adalah anak orang Utara, iaitu di P.Pinang itu sendiri.


Mungkin ada yang bertanya mengapa selaku Ketua Cabang KEADILAN di Rembau beliau mesti dibawa ke negeri lain?  Jawapannya bagi aku, di Negeri Sembilan hubungan beliau dengan kepimpinan negeri dikatakan agak dingin.  Keduanya, kerusi Parlimen Rembau eloklah diserahkan semula kepada PAS.  Ketiganya, mungkin parti mahu melihat tokoh muda ini berada di saf hadapan pejuang PR bersama-sama Sdr Rafizi, Fariz Musa, Mat Sabu dan ramai lagi tokoh muda yang lantang.  Tentunya Parlimen selepas PRU akan datang akan lebih panas lagi berganding dengan YB Nurul Izzah samada ketika itu PR menjadi Kerajaan atau tidak.

Apa pun, kita mengharapkan Chegu Bard akan diberi kemenangan walau di mana beliau bertanding kerana pejuang yang tidak mengharapkan jawatan dan kedudukan akan diberkati jika diberi jawatan, InsyaAllah.

Tiada ulasan: