Sabtu, 4 Ogos 2012

Tabik buat MerdekaReview

 Oleh Hafiz Zainuddin



Ia bukanlah sebuah medium maklumat semberono yang memuntahkan segala caci maki dan fitnah. 
Jauh sekali untuk melagakan antara kaum dan agama.  Sifatnya murni, menjadi sebuah medium perantara yang bebas, agar rakyat Malaysia dapat membuat penilaian dan pemerhatian yang tidak canggung terhadap Malaysia dan pemain-pemain politiknya.

Ditubuhkan pada 31 Ogos 2005, MerdekaReview genap berusia 8 tahun pada 31 Ogos nanti di mana ia akan menamatkan seluruh operasinya.

Kita akan kehilangan sebuah media bebas yang berintegriti dan mulai hari ini, 2 Ogos 2012, secara rasmi laman web Merdeka Review berbahasa Malaysia menamatkan operasi mereka. Tidak lain, penamatan operasi ini atas sebaba mengalami masalah kewangan dan dana untuk membiayai operasi.

MerdekaReview bukalah sebuah media milik mana-mana parti politik. Mereka juga tidak dibiayai oleh orang politik tertentu yang berkepentingan. Pernah dituduh dimiliki MCA, dan pernah juga dicop sebagai lidah DAP. Walhal, MerdekaReview bukanlah di antara kedua-duanya. Mereka berada di  tengah, melaporkan berita, memuatkan rencana-rencana berkualiti untuk tatapan kita seluruh warga Malaysia.

Justeru, kes penamatan operasi MerdekaReview bukanlah yang pertama kali kita pernah dengar. Dalam proses pematangan demokrasi dan politik Malaysia, medium maklumat online merupakan antara medium terbaik, murah dan pantas memberi laporan. Penamatan operasi Merdekareview adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Media bebas dan berintegriti

Kehadiran media yang melabelkan diri sebagai ‘bebas’ sering menimbulkan persepsi negatif sebahagian masyarakat. “Bebas tu bebaslah, tapi pro mana?” Soalan begini biasa saja muncul dan dialami sendiri oleh saya.

Beginilah kita di Malaysia. Budaya media, pergaulan dan pemahaman kita sering terjerumus dalam lembah hitam putih. Kita distrukturkan dalam kotak tertentu sehinggakan pola fikiran dan pemahaman kita sendiri tertambat.

Selain dari persoalan ‘bebas’, seperkara lagi yang penting adalah apakah maklumat yang diberikan tersebut benar, tepat dan berintegriti? Jadi, sama ada ia medium bebas yang tidak berproksikan mana-mana pertubuhan atau parti politik, kebenaran laporan dan fakta itu sangat penting. Lainlah kalau ada pihak yang menghalalkan sendiri ‘putarbelit’ seperti Utusan dan cybertroopers UMNO-BN.

Sokongan dan dokongan ke atas media bebas

Secara peribadi, MerdekaReview telah banyak memberi peluang dan tunjuk ajar kepada saya sendiri sebelum melangkah lebih jauh sebagai wartawan di Roketkini.com. Ingin saya merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas tunjuk ajar yang diberikan oleh saudara Lim Hong Siang selaku Editor MerdekaReview Bahasa Malaysia yang tidak jemu memberi tunjuk ajar dan panduan ke atas tulisan-tulisan saya.

Kita mengharapkan, agar semangat dan khidmat yang telah diberikan bukan sahaja oleh MerdekaReview tetapi juga media bebas dan berintegriti yang lain agar mendapat sokongan dan terus berkembang mencorak pemikiran masyarakat yang matang.

Media bebas seperti MerdekaReview harus diberi galakan dan sokongan oleh semua lapisan masyarakat termasuklah kalangan masyarakat sivik dan NGO. Bukan demi kepentingan politik tertentu tetapi agar ia mampu membuahkan sebuah manifestasi matang rakyat dalam menilai kearah Malaysia yang lebih bersih, adil dan progresif.

Selamat tinggal dan tabik buat MerdekaReview. – Roketkini.com

Tiada ulasan: