Khamis, 23 Ogos 2012

Pemuda Umno tidak utamakan jumlah calon

SINAR HARIAN

Razali Ibrahim
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim
 
MUAR- Pemuda Umno tidak mementingkan bilangan anggotanya yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, sebaliknya menumpukan kepada calon boleh menang.
  
Naib Ketua pergerakan Datuk Razali Ibrahim berkata tidak ada gunanya jika mempunyai calon yang ramai namun gagal memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
  
"Apa yang lebih penting, calon daripada Pemuda harus mempunyai harapan untuk menang dalam pilihan raya itu," katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka sempena Aidilfitri di kediamannya di Kampung Sri Menanti, di sini hari ini.
  
Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata beliau juga akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan jika dirasakan beliau tidak mampu mempertahankan kerusi Parlimen Muar.
  
Saya akan berusaha untuk memastikan calon BN yang terpilih bertanding di kerusi itu menang, katanya menambah senarai calon Pemuda sudah diserah oleh Ketua sayap Khairy Jamaludin kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tidak ada maknanya saya bertanding mewakili BN kalau tidak boleh menang," katanya sambil menambah, peratus kemenangan calon Pemuda pada pilihan raya umum 2008 adalah memuaskan.
  
Beliau berkata kepentingan parti harus melebihi kepentingan diri setiap anggota dan mereka yang tidak dicalonkan harus berusaha membantu BN dan bukan menjatuhkannya. -Bernama

Tiada ulasan: