Ahad, 19 Ogos 2012

Pemuda: Umno kena sertai Pas, bukan sebalik

Wartawan Sinar Harian

Nasrudin Hassan


SHAH ALAM - Sambil menegaskan Umno yang patut menyertai Pas, Pemuda Pas mencabar Umno membentangkan rang undang-undang hukum hudud di Parlimen terlebih dahulu daripada mempelawa parti Islam itu menyertainya  ataupun Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, beliau yakin wakil rakyat Pas akan menyokong langkah itu jika Umno sanggup berbuat demikian.

"Saya cabar Umno siapkan dulu draf kemudian bentang dalam parlimen. Jika ia menepati kehendak Islam sebagaimana yang diperintah oleh ALLAH SWT, saya yakin ahli Parlimen Pas akan menyokongnya.

"Jika Umno tidak sanggup melakukannya, ketahuilah, Umno hanya menjadikan isu hudud sebagai modal politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya lagi.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir Khamis lalu, Nasrudin berkata, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi cuba mencuri tumpuan umum dengan kenyataan terbarunya bahawa Umno boleh melaksanakan hudud tetapi bukan hudud Pas sebaliknya hudud Islam.

"Suatu kenyataan paling lucu menutup tirai Ramadan al Mubarak tahun ini," katanya lagi.
Sambil berkata beliau sangat simpati dengan Dr Mahathir, Nasrudin berkata, "beliau seperti merasakan diri masih di tahkta Perdana Menteri."

"Bercakap mahu melaksanakan itu dan ini sedang kuasa tidak lagi ditangannya. Lebih malang, apa yang disebut mahu dilaksanakan hari ini [seperti hudud] adalah suatu yang ditentangnya habis-habisan sewaktu beliau gah di puncak kuasa sejak sekian lama," katanya.

Sehubungan itu Nasrudin menegaskan bahawa Umno tidak mahu melaksanakan hudud.

"Ini satu realiti. Lihat sahaja cadangan Adun Kemelah Johor untuk melaksanakan hudud di Johor, bukan sahaja diketepikan malah dikecam.

"Lebih parah apabila (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek selaku Presiden MCA menuduh pemimpin Umno itu hilang akal, seluruh pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir, bungkam sejuta bahasa," katanya.
Malah menurut Nasrudin, kuasa kerajaan federal berada di tangan Umno.

 "Jadi, retorik apa lagi yang mahu Umno paparkan kepada rakyat. Kalau tidak mahu hudud "Pas" kononnya, mana hudud Umno? sila kemukakan!  Sekurang-kurangnya negeri yang ditadbir oleh Pas sebagai teras kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang Syariah atau Kanun Jenayah Syariah iaitu di Kelantan dan kemudiannya di Terengganu. Negeri Umno mana? Mana hudud Umno atau mana hudud "Islam" yang didakwa itu?

"Pas sejak sekian lama, dimaklumi oleh semua rakyat bahawa memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam di negara ini termasuk hukum hudud.

Sementara Umno pula diketahui umum menentang perlaksanaan hudud sejak sekian lama. Maka logiknya, Pas sertai Umnokah atau Umno yang wajib sertai Pas untuk memastikan hudud benar-benar terlaksanakan di atas tanah air tercinta ini.

"Sekurang-kurang Pas telah siapkan draf Kanun Jenayah Syariah yang mahu dilaksanakan. Umno sehingga kini draf pun tidak ada, macam mana Dr Mahathir mahu Pas menyertai Umno, sepatutnya Umno dibubarkan untuk kesemua ummat Islam menyertai Pas bagi mendukung cita-cita pelaksanaan Islam di Malaysia," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: