Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang berusaha menarik sokongan orang Melayu dengan menggunakan isu agama.
Terbaru Najib menyatakan falsafah dan prinsip beliau mengurus tadbir Negara adalah berpaksikan Al Quran dan Sunnah semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At Taqwa, Paroi semalam.
Bagi Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Sany Hamzan, kenyataan terbaru Najib itu sangat lucu dan tidak berpijak kepada realiti yang sebenarnya.
"Adakah dengan menzalimi hak negeri Pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai pemerintahan yang berpaksikan semangat berteraskan kepada agama?
"Adakah melaksanakan undang-undang yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti ISA, OSA dan sebagainya dituntut oleh Islam?
"Adakah tindakan ‘menangkap dan menggari’ orang yang mendedahkan penyelewengan dan salah laku pemimpin-pemimpin yang korup termasuk di dalam kategori orang yang memperjuangkan Al Quran di dalam pengurusan tadbir Negara," soalnya.
Bagi Sany, kenyataan Najib hanyalah cubaan untuk mempergunakaan isu agama bagi menarik kembali simpati rakyat khususnya pengundi Melayu Islam bagi menyokong Umno dan Barisan Nasional setelah cubaan menyogok dengan isu pembangunan, isu ‘durian runtuh’ serta pelbagai isu lagi masih tidak dapat menepati sokongan yang diperlukan oleh mereka bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.
"Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup yakin permainan Najib untuk menggunakan isu agama ini akan memberi impak yang buruk terhadap sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional.
"Kita menasihatkan supaya Najib menarik balik kenyataan beliau sebelum ini kerana ianya amat mengelirukan dan boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di dalam negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan