Jumaat, 17 Ogos 2012

Ilmu sedia perjelas hukum Islam, hudud

Wartawan Sinar Harian

Fathul Bari
Fathul Bari
 
 
SHAH ALAM - Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) mempersoalkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang risau berlaku ketidakadilan kepada bukan Islam sekiranya hukum hudud dijalankan.

Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sekiranya Soi Lek tidak yakin dengan pelaksanaan hudud, beliau bersedia untuk membantu beri penjelasan.

“Malah, saya juga sedia dijemput untuk menerangkan hukum Islam dan hudud kepada pemimpin bukan Islam yang lain seperti Pengerusi DAP, Karpal Singh, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Mereka perlu faham hudud bukan isu politik dan biarkan ia keluar dari kepompong politik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, jika bukan Islam tidak menerima hudud, mereka perlu buat analisa terlebih dahulu dan alasan penolakan hukum itu.

Beliau menegaskan, pihaknya telah memberikan penjelasan secara berterusan mengenai perkara tersebut malah, pernah berdiskusi bersama Soi Lek tahun lalu.

 “Saya pernah membincangkan perkara ini dengan Soi Lek dan mendapati beliau melakukan analisa awal sebelum berdebat.

“Namun, analisa itu tidak mencukupi kerana tidak secara terperinci sebaliknya ia perlu diperjelaskan ke peringkat seterusnya, ” katanya.

Fathul Bari berkata, sekiranya kita boleh menerima demokrasi dari Yahudi, mengapa hudud ditolak sedangkan ia hukum Islam.

Tiada ulasan: