Subky Latif, |
Percubaan Adun Umno Johor menyarankan supaya kerajaan BN Johor melaksakan hudud mendapat sambutan panas sekejap dan cadangan Ulama Muda Umno supaya Umno ada sayap ulama juga panas sekejap.
Panas sekejap dalam peribahasa Melayu ialah panas-panas tahi ayam.
Sekarang hudud anjuran ahli Umno sudah mati dan seruan mengadakan Majlis Ulama atau seumpanya buat UMNO juga sudah mati.
Semuanya tenggelam dalam polemik hudud yang dicadangkan oleh PAS yang diloyar-burukkan oleh Umno sebagai hudud PAS dan hudud PAS adalah hudud palsu. Para pemimpin menolak dan tidak memberi laluan kepada enakmen berkaitan hudud yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu kerana loyar buruknya mengira ia hudud palsu.
Loyar buruk itu sekadar helah bahawa golongan itu amat nipis imannya terhadap hudud. Bila ditanya adalah orang Umno menentang hudud, jawapannya tidak. Mereka pun mahu hudud.
Barang dijauhkan ia menyerupai orang yang solat di belakang Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, yang mengaku beriman di hadapan baginda, tetapi menolak kerasulan baginda di belakangnya.
Ketika ADUN Johor itu menyarankan hal itu, beria-ia Umno menyahutnya untuk beberapa hari, tetapi seluruh jentera propaganda Umno Melaka-laga PAS dengan DAP atas isu hudud itu.
Hingga ada yang cuba mensabitkan tentangan DAP terhadap hudud itu malayakkannya dikatagorikan sebagai kafir harbi, lalu dikatakan haram hukumnya mengundi, menyokong dan bekerjasama dengan DAP.
Jika dilanjutkan lagi tentang kafir harbi, halal darahnya ditumpahkan.
Apa maksud segala perkembangan panas ini? Ia adalah untuk mematikan isu orang Umno minta hudud dilaksanakan dan ada ulama makan gaji dengannya minta Umno ada sayap ulama.
Apabila semuanya gamat dengan apa yang dikatakan polemik hudud antara PAS dan DAP, maka isu hudud yang dibawa PAS terus hidup menjadi perbincangan semua pihak.
Cadangan Adun Johor itu tenggelam dan mati. Maka Umno tidak sibuk lagi dengan hudud yang dikatakan hudud sebenar itu.
Yang timbul di tengah masyarakat ssekarang, yang benar-benar memperjuangkan hudud itu adalah PAS. Walaupun sekiranya Umno pula mati selepas PRU 13 nanti, tidak pula mudah bagi PAS melaksanakan hudud itu serta merta, kerana ia memerlukan kerelaan DAP dulu, tetapi isu tidak mati.
Mungkin PAS akan mengambil masa 20 tahun atau 30 tahun sebelum DAP mempersetujui ia boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam saja, tetapi dakwah atas hudud itu akan berjalan.
Mungkin Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang mati dulu, Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga mati dulu, isu hudud belum selesai, tetapi tidak boleh orang PAS yang kemudiannya berputus asa atas pelaksanaan itu.
Dalam suasana kedua-dua parti itu berbeza pandangan atas isu itu, Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi memahami mengapa DAP bersikap begitu dan Lim Kit Siang dan Karpal juga memahami mengapa PAS konsisten dengan pendiriannya. Dengan satu perkara yang mereka tidak setuju tidak menghalang mereka untuk bersetuju dalam banyak pekara lain.
Sehingga ini Karpal dan DAP tidak melarang PAS terus berdakwah tentang hudud dan mahu melaksanakan hudud. Paling menarik dalam perkembangan yanag terbaru Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik Setiausaha Agung DAP menyatakan DAP membuka pintu muzakarah dengan PAS tentang hudud.
Semua ini adalah perkembangan antara orang muda DAP dan orang muda PAS. Kedua-dua akan hidup lama lagi dan mereka ada tanggungjawab membangunkan negara dan bangsa Malaysia menuju ambang keadilan, merdeka dan sejahtera.
Hudud yang dibawa PAS tetap hidup tetapi yang mati hudud yang dicadangkan oleh Adun Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan