Selasa, 14 Ogos 2012

300 sambut Pandelela, kurang meriah banding Chong Wei

Noor Hafiza Che Abdullah dan Siti Fatimah Muhammad Ali

Pandelela Rinong
Pandelela Rinong bersama krew Malaysian Airlines ketika berlepas dari Heathrow menerusi pesawat terkini A380 semalam. Dia tiba di KLIA pagi ini. – Foto ihsan MAS 
 
Pandelela Rinong
Sebahagian peminat yang menanti ketibaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
 
[DIKEMAS KINI] SEPANG - Perenang negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa dalam 10m Platform Wanita dalam Sukan Olimpik London baru-baru ini tiba di tanah air pagi ini tetapi sambutan bagi beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tidak semeriah ketika ketibaan Datuk Lee Chong Wei.

Menurut tinjaun Sinar harian Online, kira-kira dalam 300 sahaja peminat yang berada di ruang balai ketibaan KLIA berbanding sambutan yang diberi kepada jaguh badminton minggu lepas.

Pada masa yang sama, meskipun sambutan yang diberikan tidak semeriah dan gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London, Pandelela  tetap menerima pujian dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila menjadi wanita pertama menyumbangkan pingat dalam sukan berprestij itu.

Ruang balai ketibaan KLIA tetap dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk antaranya 'Selamat Pulang wira negara, tahniah Pendelela, 'Tahniah Pandelela for winning bronze medal in 10m platform' dan 'We are know for our LAH slang now, are well-known for Pandelela-LAH'.

Suasana di balai ketibaan itu tetap riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH003, iaitu pesawat terkini A380, yang membawa Pandelela dari London diumumkan sudah mendarat kira-kira 7.54 pagi.

Sebaik sahaja Pandelela melangkah ke balai ketibaan dua jam  kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh'.

Salah seorang peminat yang tiba di KLIA pada jam 6.45 pagi, Noor Fishah, 24 berkata, dia begitu teruja untuk menyambut ratu terjun itu.

"Saya tumpang berbangga dengan kejayaan Pandelela lebih-lebih lagi menjadi wanita pertama meraih pingat di Olimpik. Dia membuktikan wanita mampu meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Bagi saya, Pandelela seorang atlet yang mampu menyerlah pada masa akan datang," katanya.

Atlet muda dari Sarawak ini mencipta sejarah apabila berjaya mengumpul 359.20 mata untuk meraih pingat gangsa, sekaligus menjadi atlet wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik.

Gangsa beliau merupakan pingat pertama bagi kontingen Malaysia untuk acara terjun sejak penyertaan pertama negara di sukan itu iaitu di Olimpik Melbourne 1956.

Pandelela turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Olimpik yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.

Terdahulu, ketibaan Pandelela dan atlet terjun yang lain serta Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan ratu terjun negara itu tersenyum lebar sebaik sahaja terpandang wajah kedua-dua ibu bapanya.

Pamg Joheng dan Hartini Lamim diterbangkan khas dari Kuching oleh MAS untuk menyambut ketibaan anak gadis mereka yang berusia 19 tahun di KLIA.

Namun di sebalik kejayaan itu, Pandelela tetap tidak lupa diri apabila beliau berkata: "Walaupun saya berjaya meraih pingat di Sukan Olimpik, saya akan tetap merendah diri sampai bila-bila."

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang ada di sini hari ini. Saya terharu dengan sambutan yang diberikan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong termasuk ahli keluarga," kata Pandelela.

Ketika dalam penerbangan, anak kapal pesawat tersebut sempat bergambar bersama Pandelela yang menggayakan pingat gangsa kemenangannya.

MAS dalam satu kenyataan berkata sebagai menghargai pencapaian cemerlang Pandelela, atlet negara itu diberi keistimewaan menikmati layanan mesra anak kapal MAS di dalam kabin Kelas Perniagaan.
Pandelela berkata, pengalaman beraksi di London memberi peluang kepadanya bersaing dengan penerjun terbaik dunia.

Beliau berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara dan MSN kerana membantu beliau dari segi persiapan menghadapi Sukan Olimpik.

Katanya, beliau akan berehat dua minggu dan menghabiskan masa cuti itu untuk bersama keluarga.
Ahmad Shabery berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bertemu Pandelela pada Jumaat ini selepas pulang daripada menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa kali ke-4 Persidangan Kerjasama Islam di Makkah.

Tiada ulasan: