Selasa, 23 Ogos 2011

UMNO SELANGOR MARA, UMNO PULAU PINANG BAGAIMANA?

MTamin MD

Akhirnya UMNO Selangor mengotakan katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed menegaskan, pihaknya akan menyaman Setiausaha Usaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali sebanyak RM10 juta, berikutan kenyataan Mustapha yang menuduh UMNO mendalangi pemeriksaan JAIS ke atas sebuah gereja di Damansara Utama.

Kata Mohd Zain, tindakan itu diambil selepas Mustafa enggan memohon maaf secara terbuka seperti yang diminta Umno Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan 16 Ogos lepas.

“Sempena dengan semangat Ramadan, kami bersedia memaafkan namun Mustafa angkuh malah mendakwa mempunyai dokumen membuktikan Umno Selangor menjadi perancang pemeriksaan gereja terbabit.

“Jadi, tindakan saman adalah yang terbaik bagi mempertahan maruah Umno Selangor yang difitnah,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Mohd Zin berkata Umno Selangor melantik Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak untuk menjalankan proses perundangan itu.

Langkah UMNO Selangor ini sesungguhnya sangat dialu-alukan. Soal menang atau kalah adalah perkara yang lain. Namun apa yang penting ialah ketegasan dalam mengotakan kata-kata.

Sayugia diingat bahawa antara sebab kenapa reputasi UMNO terjejas teruk ke belakangan ini ialah kerana ketidaksungguhannya mematahkan serangan-serangan lawan.

Jadi, kesungguhan UMNO Selangor ini sedikit sebanyak tentu mampu membantu memulihkan reputasi itu. Ia juga akan memberi peringatan kepada pihak-pihak yang menuduh supaya lebih berhati-hati.

Soal sama ada pihak yang mendakwa itu benar-benar mempunyai bukti atau tidak biarlah mahkamah yang memutuskannya. Yang penting, UMNO Selangor yakin ia berada di pihak yang benar.

Kita tungguhlah pula apa yang akan terjadi di Pulau Pinang. Apakah Badan Perhubungan UMNO Negeri itu akan mengambil langkah segarang UMNO Selangor.

18 Ogos lalu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya menarik balik kenyataannya yang didakwa cuba mengaitkan isu perkauman dengan insiden simbahan cat di pejabat DAP. Jika tidak, kata Zainal Abidin, tindakan undang-undang akan diambil.

Dalam reaksi balasnya, Guan Eng mencabar UMNO Pulau Pinang supaya tidak bertangguh menyamannya.

Sejak itu UMNO Pulau Pinang. Kita berharap diam itu adalah diam-diam ubi, bukannya diam-diam masuk gear gostan.


Tiada ulasan: