Sabtu, 20 Ogos 2011

UMNO dah jadi Parti "Musang Berbulu Ayam"?

PASPB

http://www.marhaen.info/images/juara_fitnah.jpg


Sejak PAS isytihar mahu ganti Umno, parti asobiyah Melayu itu tiba-tiba berubah watak menjadi lebih PAS dari PAS. Rentetan isu yang berlaku satu demi satu dalam negara menunjukkan bahawa Umno cuba menonjolkan bahawa mereka adalah parti yang betul-betul memperjuangkan Islam.

PAS mahu menggantikan UMNO sebagai tulang belakang parti kerajaan yang memerintah. Jika selama BN berkuasa UMNO menjadi sandaran serta tempat rujukan orang Melayu/Islam di negara ini maka apabila Pakatan Rakyat berkuasa nanti maka PASlah penaung umat Melayu/Islam.

PAS tidak ingin menggantikan UMNO dari aspek syaksiyyah buruk UMNO; sudah tentu bukan mengambil alih sebagai perasuah dan penyamun kekayaan negara

Umno yang panik dengan pengumuman PAS itu jadi tak keruan kerana jika rakyat meyakini bahawa PAS mampu menggantikan Umno sebagai peneraju kerajaan Pusat dan sebagai tempat mengadu nasib orang Melayu/Islam maka runtuhlah empayar kekuasaan Umno yang dibina separuh abad.

Mutakhir ini Umno sentiasa menunjukkan bahawa mereka sedia berpencak di mana saja dengan pihak yang cuba mencabar kedaulatan Melayu dan maruah Islam. Dalam isu antara Jais dan gereja baru-baru ini, Umno bangkit menjulang keris tumpulnya dengan penuh semangat kepahlawanan... tapi bukannya dihalakan kepada puak missionary Kristian, sebaliknya kepada PAS dan Melayu KeADILan kononnya gagal bertegas dengan puak gereja.

Berhari-hari mereka mengejek PAS kerana gagal mengeluarkan kenyataan paling tegas terhadap pihak gereja. PAS dituduh gagal mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu JAIS-gereja.

Lidah Rasmi UMNO Utusan Malaysia terus menjolok PAS untuk mengeluarkan kenyataan rasmi parti berhubung isu serbuan JAIS terhadap sebuah gereja di Selangor.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS sudah menyatakan, PAS berpendirian menolak sebarang bentuk penyebaran agama lain di kalangan orang Islam termasuk usaha kristianisasi oleh mana-mana gereja. Kenyataan itu merujuk kepada isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas majlis yang diadakan di Dewan Damansara Utama, Methodist Church

“Ini adalah selari dengan peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Selama ini pendirian PAS adalah konsisten mempertahankan kemurnian aqidah ummat Islam.

"PAS menyerahkan sepenuhnya kepada Jais untuk mengambil langkah pendakwaan ke atas mana-mana pihak sekiranya terbukti berlakunya kejadian tersebut," tegas Mohamad Sabu.

Kenyataan tersebut cukup tegas dan jelas, namun Umno tetap kata PAS tiada pendirian. Tertutup sungguh mata hati Umno.

Di tengah-tengah serangan bertalu-talu terhadap PAS kononnya PAS gagal dalam mempertahankan aqidah Muslim hanya kerana kononnya PAS tidak keluarkan kenyataan rasmi apa-apa, ramai yang tidak sedar rupanya Umno pun sejak bermulanya isu tersebut belum mengeluarkan sepatahpun kenyataan rasmi mengenainya. Najib, Muhyiddin, tiga naib Presiden, ketua Wanita dan Pemuda; tiada seorang pun yang berani mengeluarkan kenyataan rasmi menyanggah pihak gereja. Kenyataan yang banyak dari Umno ialah menyanggah dan memperlekehkan PAS. Seolah-olah Umno terkecuali untuk berbuat sesuatu mempertahankan aqidah Islam, yang pentingnya ialah membelasah pihak lawan bagi meranapkan pengaruh politik mereka. Nawaitu Umno dalam memperjuangkan isu aqidah ini pun sudah tidak betul.

Hakikatnya isu murtad bukan boleh ditangani dengan penguatkuasaan semata-mata. Seseorang itu sudah jatuh murtad sebaik terdetik dalam hati kecil bahawa agama selain Islam adalah benar. Tak perlu masuk gereja, sambil berbaring seorang diri pun seseorang boleh murtad jika dengan redha mengengkari perintah Allah SWT dan pesan Nabi Muhammad SAW.

Maknanya pemahaman dan pemantapan aqidah perlu di peringkat paling asas. Peringkat pra sekolah. Sebab itu PAS menubuhkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seluruh negara yang mengajar mengenal Allah dan Islam sebagai asas. Tapi PASTI tak disenangi oleh Umno. Berkali-kali cuba diharamkan. Berkat solat hajat dan doa penyokong perjuangan Islam PASTI tetap bertahan. Alasan mereka untuk mengharamkan PASTI hanya berasaskan prasangka jahat Dr. Mahathir kononnya PASTI menyuruh pelajarnya memijak gambar pemimpin UMNO. Fitnah yang sungguh jahat.

UMNO tidak pernah ada pusat asuhan pra sekolah. Yang ada ialah tadika KEMAS milik kerajaan yang mengajar segalanya. Doa dan solat diajar. Menyanyi dan menari pun ada juga diajar.

Bila besar boleh jadi artis. Orang yang didedahkan dengan dunia hedonisme begini sejak kecil, lebih mudah untuk terpesong apabila dewasa. Ditambah lagi dengan hiburan tanpa batas melalui peti televisyen saban waktu, di setiap rumah.

Semua elemen yang dibenar dan digalakkan kerajaan BN ini adalah jurutarbiyah terbesar yang menyesatkan umat Islam di negara ini. Mereka yang lemah iman inilah yang mudah terjebak dengan kesesatan.

Mereka cenderung untuk murtad bukan kerana miskin harta tapi fakir iman. Siapa berperanan besar dalam meyumbang kepada keruntuhan aqidah ini? Jawabnya ialah kerajaan BN!

Sekarang satu Malaysia heboh isu murtad kerana ada orang dijinakkan dengan agama Kristian. Itu jugalah jenis murtad yang Umno cuba juarai sekarang ini.

Berpuluh tahun PAS berkonfrontasi dengan Umno berpunca dari isu batas-batas iman dan kufur. Apabila PAS mahu melaksanakan hukum hudud, Umno menyanggah dengan pelbagai penghinaan dan ejekan.

Dalam perhimpunan Umno, dalam parlimen hukum Allah itu menjadi bahan persendaan oleh Umno. Mempersenda hukum Allah jelas menjatuhkan seseorang kepada murtad.

Bukan sekali, malah berkali-kali para pemimpin Umno persendakan hudud. Cuma masa itu Perkasa dan NGO talibarut Umno belum wujud untuk menghantar mangkuk jamban ke pejabat Umno kerana telah mengajar ramai umat Islam negara ini jadi murtad.

Ini adalah jenis murtad di mana orang Islam tidak perlu masuk Kristian. Siapa pelopornya?.. BN!

Sekarang UMNO cuba muncul sebagai juara anti murtad di Selangor, juara anti judi di Pulau Pinang dan juara anti pusat hiburan di Kedah; maka ia tidak lebih dari lakonan opera wayang tongkoi.

Ia tidak 'menjadi', sebab orang kenal benar Umno berwatak musang. Jangan cuba nak memakai bulu ayam sampai menutup seluruh badan sekalipun, kerana musang tetap musang. Oleh: Mr Zulya - Sedaka Sejahtera

Tiada ulasan: