Rabu, 17 Ogos 2011

TPM: Dua bahasa ajar Sains, Matematik masih dikaji

BERNAMA


Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yasinBeliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Katanya kajian itu sedang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

"Ini kerana yang kita utamakan dalam dasar baru kita ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris. Saya tahu ramai ibu bapa yang berminat tentang soal pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris.

"Jadi apabila ada saranan begitu, mungkin ada pihak yang menyatakan boleh tak beri kelonggaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di Putrajaya, hari ini.

April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada ibu bapa sebelum memutuskan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

english medium for maths and science education in chinese schoolNajib berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengkaji sama ada mungkin subjek-subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin berkata kementerian juga tidak boleh membuat keputusan terburu-buru dan perlu mengkaji secara mendalam dan tidak mengambil kira satu atau dua cadangan yang diterima.

Katanya kementerian sedang memberi tumpuan dari segi cara dan kaedah untuk dilaksanakan bagi memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.

"Beberapa hari lepas, saya telah mengeluarkan kenyatan tentang kurang kemampuan pelajar kita untuk menguasai bahasa Inggeris. Jadi, ini memerlukan kita buat kajian secara mendalam.


Tiada ulasan: