Khamis, 4 Ogos 2011

Tiga ADUN, 1MP; Tapi Semporna Terbiar

Oleh : MUTALIB M.D (sabahkini)

KENDATIPUN pekan Semporna diwakili oleh tiga orang Adun iaitu Bugaya, Senallang, Sulabayan dan seorang Ahli Parlimen (Semporna) tetapi tidak ada seorangpun yang prihatin terhadap masalah prasarana yang dihadapi penduduk Semporna.

Buktinya, lopak besar di jantung pekan Semporna terbiar begitu sahaja tanpa ada usaha walau seorangpun wakil rakyatnya yang berusaha untuk memastikan lopak kerbau berkenaan ditutup dan diselenggarakan.

Aktivis Masyarakat, Abdullahsani Haji Abdul Salleh membidas kesemua wakil rakyat di Semporna kerana membiarkan lopak besar sebesar lubang kubur di hadapan Milimewa dan lebih 20 lubang di tengah pekan Semporna.

“Kita kesal kerana tidak ada pihak yang mahu tampil menyelesaikan masalah ini kerana setiap wakil rakyat menuding jari sesama sendiri siapa yang patut menyelenggarakan Pekan Sampah Semporna, sehingga jalan di dalam pekan langsung tidak diselenggara,” kata Abdullahsani yang juga Pengerusi Local Community Forum Tun Sakaran Marin Parks.

Menurut Abdullahsani, beliau sering dilontarkan pelbagai soalan oleh para pelancong dan rakyat tempatan berhubung keadaan pekan Semporna yang bukan sahaja mempunyai dua menteri penuh di peringkat negeri dan persekutuan, malah empat Wakil rakyat; namun tidak seorangpun yang peka dan prihatin terhadap rungutan rakyat dan pelancong.

Kesemua wakil rakyat, kata Abdullahsani masing-masing sibuk dengan urusan mereka di ibu negeri dan ibu kota dan hanya kembali ke Semporna secara senyap-senyap seperti kelawar dan meninggalkan Semporna seperti pencuri tanpa sempat berjumpa rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Majlis Daerah dan Jabatan Kerjaraya segera membaiki jalan di dalam Pekan Semporna yang tidak ubah seperti sebuah perkampungan di Filipina Selatan.

“Semporna mempunyai aset pelancongan semula jadi kelas dunia; tetapi oleh kerana pekan Semporna begitu mundur dan daif, maka rakyat Semporna tidak mendapat manfaat langsung daripada pelancong yang hanya ke Sipadan dan pulang tanpa membelanjakan wang mereka di Pekan Semporna,” ujar Abdullahsani yang agak kesal dengan senario yang berlaku.


Tiada ulasan: