BUKTI...Rahman menunjukkan lokasi isterinya terpijak buaya.
PAPAR: “Isteri saya tidak menyangka ‘kayu’ yang dipijak sebenarnya seekor buaya tersesat di halaman rumah ketika banjir,” kata Rahman Nawang, 60, menceritakan kejadian cemas menimpa isterinya yang nyaris dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Kawang, di sini, baru-baru ini.
Nelayan terbabit berkata, isterinya, Raimah Abdullah, 56, tidak menyedari reptilia itu berada di bawah rumah berikutan keadaan gelap, selain badan haiwan itu berwarna coklat seakan kayu.
“Kejadian berlaku ketika banjir baru-baru ini apabila isteri dikatakan terlihat kotak dihanyutkan air menyebabkan dia bergegas turun untuk mengambilnya.
“Tanpa disangka, sebaik meranduk (meredah) air banjir, dia terpijak seekor buaya sepanjang lebih tiga meter yang disangkakan dahan kayu,” katanya ketika ditemui, di rumahnya, kelmarin.
Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam itu agak gelap dan sukar membezakan antara kayu dan buaya.
“Sebaik terpijak ‘kayu’ itu, ia bergerak dan isteri saya yang terkejut bergegas naik ke rumah, manakala buaya itu melarikan diri ke semak berhampiran.
“Saya bimbang jika tiada usaha pihak berkuasa, pasti akan ada penduduk menjadi mangsa ‘sang bedal’ ini kelak,” katanya.
Menurut Rahman, dia sering terserempak beberapa ekor buaya berjemur di tebing sungai sepanjang lebih tiga meter dan hampir satu meter lebar ketika sedang menjala ikan.
“Bukan saya saja, malah beberapa penduduk kampung pernah terserempak dengan berbahaya ini, malahnya semakin banyak dan dianggarkan melebihi 100 ekor.
“Buaya itu hanya akan muncul ketika paras air sungai surut hingga menampakkan tebing dan pasir,” katanya.
Tanpa berselindung, Rahman berkata, dia pernah terserempak dengan buaya bersaiz gergasi sepanjang lebih lima meter dan selebar lebih satu meter sedang berjemur di tebing sungai yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari rumah.
“Sepanjang menetap di kampung ini, itulah pertama kali saya melihat buaya sebesar itu timbul di sungai ini,” katanya.
Menurut Rahman, dia pernah menangkap beberapa ekor anak buaya sebagai bukti kewujudan haiwan berkenaan.
“Anak buaya sepanjang 40 sentimeter (sm) sering dilihat berenang mencari makanan terutamanya pada waktu malam.
“Saya pernah menangkap anak buaya pada waktu malam hanya menggunakan tangan ketika pulang dari laut dan melepaskannya semula selepas selesai merakam gambar sebagai bukti,” katanya.
Rahman berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu mengatasi atau mengurangkan masalah ini demi keselamatan penduduk kampung.
“Kelibat buaya semakin kerap timbul di permukaan air dan mendedahkan diri mereka mungkin petanda haiwan itu kini kekurangan makanan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan