Selasa, 9 Ogos 2011

Periksa gereja: Pemuda PAS ajak NGO Islam dialog

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ekoran pelbagai reaksi ditimbulkan terhadap isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan sidang meja bulat berhubung isu itu.

Sidang atas tajuk “JAIS dan Gereja” itu akan diadakan pada 13 Ogos ini bertempat di Tingkat 5, Dewan KOHILAL Diamond Square, Setapak, Kuala Lumpur dan akan bermula pada jam 4.30 petang.

Menurut setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, inisiatif dewan pemuda itu diambil bagi mendapatkan pandangan paelbagai pihak dan membincangkan kaedah terbaik menangani perkara itu dari terus dikelirukan.

"Isu Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama belakangan ini menjadi menu utama di dalam media massa untuk dihuraikan. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan masalah sebegini perlu ditangani dengan segera agar tidak timbul masalah lain yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu mereka menjemput seluruh NGO Islam di negara ini untuk menghantar wakil mereka bagi membincangkan isu itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia amat berbesar hati sekiranya seluruh NGO Islam di Malaysia dapat mengambil bahagian di dalam perbincangan mengenai isu ini kerana ianya mampu menggugat keamanan negara.

"Sebelum ini kejadian-kejadian seperti rumah-rumah ibadat dibakar atau dicemari pernah berlaku di dalam negara kita. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap penyertaan NGO di dalam sidang meja bulat ini akan menghasilkan satu penyelesaian yang baik buat semua pihak," jelasnya.

Sementara itu, PAS hari ini memaklumkan telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua surat itu telah dihantar melalui faks kepada kedua-dua pejabat badan itu pagi ini.

Mereka mencadangkan tarikh pertemuan dengan Jais diadakan pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini.

Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tindakan itu telah mendapat reaksi yang panas dari pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap berhubung kontoversi itu.

Tiada ulasan: