Selasa, 9 Ogos 2011

Perhebat kesan warga asing boleh mengundi

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohamad Yusof menggesa suluruh ahli PAS memperhebat program menyemak daftar pemilih bagi mengesan warga asing atau penduduk tetap yang didaftar sebagai pemilih.

Ia berikutan beberapa pendedahan sebelum ini yang menunjukkan wujudnya penduduk tetap yang didaftar sebagai pemilih yang ditemui di seluruh negara.

"Saya seru kepada semua pihak terutama anggota parti menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa menyemak daftar pemilih.

"Kita tidak mahu negara kita ini digadai kepada rakyat asing demi kepentingan politik pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mendedahkan terdapat hampir 20,000 rakyat Thailand, Kemboja dan Vietnam yang masuk ke Kelantan yang disyaki demi kepentingan politik pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mereka didakwa masuk secara berkumpulan melalui pintu sempadan Rantau Panjang sejak enam bulan lalu dan kegiatan itu menurutnya semakin aktif sejak akhir-akhir ini.

"Kita bimbang dengan perkembangan ini. Ianya sangat berleluasa.

“Kita mendapat maklumat rakyat negara jiran itu dibawa masuk dengan bas ke negara ini sebelum dipecahkan melalui pengangkutan awam ke negeri lain dan kami juga mendapati rakyat asing ditawarkan mendapat kerakyatan Malaysia dengan syarat mereka mengundi BN dalam PRU-13 nanti.

Perkara tersebut ujarnya menunjukkan kerajaan BN terdesak untuk meningkatkan bilangan undi mereka sehingga sanggup membenarkan rakyat berstatus penduduk tetap (PR) mendapat kerakyatan segera.

"Kita bimbang, tiadak mustahil pada masa akan datang tindakan mereka ini akan menyebabkan rakyat negara ini menjadi pengemis di negara sendiri.

"Kita tidak mahu warga asing mengaut kekayaan negara kita sewenang-wenangnya," katanya lagi.

Mengulas program pemutihan pendatang asing tanpa izin yang menggunakan sistem biometrik pula, beliau yakin program itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13.

Ia kerana bukan sahaja dibuat dalam suasana negara akan berdepan PRU ke-13, malah beberapa penemuan juga membuktikan wujudnya komplot pihak tertentu yang mendaftarkan warga asing sebagai pemilih.

"Saya ingin mempersoalkan, apakah ini juga ada agenda politik, kenapa tergesa-gesa dibuat dekat dengan pilihan raya," soalnya.

Tiada ulasan: