PARIT - Pergerakan Pemuda UMNO mungkin menghantar pasukan khas ke Sabah bagi membantu jentera Pemuda di sana mendaftarkan anggotanya sebagai pemilih.
Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO, Hisamuddin Yahya berkata, langkah itu bagi memastikan kira-kira 21 peratus lagi anggotanya dapat didaftarkan selewat-lewatnya pada September ini bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum nanti.
"Kita mungkin menghantar anggota ke sana (Sabah), bagi membantu jentera Pemuda mengesan dan mendaftarkan ahli. Ini penting memandangkan di sana ahli kita berselerak di kawasan pedalaman termasuk di pulau-pulau,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, gerakan pendaftaran itu perlu dijalankan segera supaya mereka layak untuk mengundi sekali gus membantu kemenangan semua calon Barisan Nasional (BN).
Katanya, Sabah merupakan negeri yang anggotanya paling ramai masih belum mendaftar sebagai pemilih iaitu sebanyak 21 peratus, manakala Perak dan Selangor masing-masing di bawah sembilan peratus.
Hasil kerja keras jentera Pemuda seluruh negara, pergerakan itu berjaya mendaftarkan 121,000 daripada 180,000 anggotanyaa yang sebelum ini tidak layak mengundi setakat ini, katanya.
“Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 59,000 orang sahaja lagi yang belum mendaftar dan kita sekarang sedang giat mengesan mereka.
"Pergerakan Pemuda yakin mereka dapat didaftarkan menjelang September ini,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan