Isnin, 22 Ogos 2011

Pemergian Azizi kehilangan besar buat PAS

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Pemergian novelis terkemuka tanah air, Azizi Abdullah (gambar) ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar kepada PAS khususnya dan seluruh masyarakat Malaysia amnya.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham bukan sekadar berjasa besar sebagai tokoh PAS yang terlibat secara langsung menggerakkan PAS di pelbagai peringkat, termasuk menjadi calon PAS dalam pilihan raya, tetapi juga tokoh milik masyarakat melalui aktiviti penulisannya yang cukup berkesan.

Katanya, dengan jasa dan penglibatannya itu, sudah tentu pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar kepada PAS khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allayarham Azizi Haji Abdullah di atas pemergian beliau ke rahmatullah.

"Kita berdoa kepada Allah SWT semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan mendapat keampunan Allah," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Perutusan takziah beliau itu disampaikan menerusi setiausaha akhbar beliau, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Allahyarham Azizi, 69, meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang kira-kira jam 7.50 pagi semalam akibat komplikasi buah pinggang dan sakit jantung. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut sejak 26 Mac lalu dan menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.

Semasa hayatnya, Allahyarham yang tinggal di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim merupakan seorang novelis hebat, peka dan tajam penanya terhadap isu semasa yang melanda masyarakat.

Beliau juga terkenal sebagai seorang penulis yang berdisiplin, berdedikasi dalam penulisan dan kritis dalam mengutarakan idea, sehingga mampu dijadikan contoh oleh generasai muda hari ini dalam menekuni bidang penulisan dan kesusasteraan.

Beliau yang pernah memenangi anugerah SEA Write Award pada 1988 itu meninggalkan banyak karya bermutu untuk bacaan orang ramai. Antara karya besarnya termasuklah novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.

Tiada ulasan: