Pemangku Naib Canselor Unisel Profesor Dr Anuar Ahmad berkata semua mereka juga didapati tidak memenuhi tuntutan tugasan masing-masing dan pertukaran jawatan mereka adalah perkara normal dalam sesebuah organisasi.
Mereka ialah Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman, Pendaftar Rokmaa Mat dan Pengarah Pemasaran Halid Hasbullah.
Justeru, Unisel menafikan pertukaran jawatan mereka dan peletakan jawatan Naib Canselornya Datuk Dr Rosti Saruwono ada kaitan dengan salah guna kuasa atau campur tangan politik.
"Kita bukan mahu mencari salah siapa, tetapi secara umumnya apa yang boleh saya katakan masalah timbul apabila bilangan pelajar menurun ketara iaitu dari kira-kira 13,000 orang pada satu ketika dahulu kepada 8,700 orang pada masa kini.
"Dalam kursus pengajian perniagaan misalnya, dari kira-kira 5,000 pelajar berkurangan sehingga 2,400 pelajar kini," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Isu akreditasi
Dr Anuar dilantik sebagai pemangku Naib Canselor Unisel selepas jawatan berkenaan dikosongkan Dr Rosti pada 3 Ogos lalu.
Dr Anuar berkata Unisel juga berdepan isu akreditasi kursus oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) apabila ada kursus yang tertangguh kerana proses memohon akreditasi itu tidak dilakukan dengan komited.
Beliau berkata ekoran masalah itu, Unisel menghadapi masalah kewangan yang membimbangkan apabila bilangan pelajar semakin berkurangan sedangkan pada masa yang sama, gaji serta penyelengaraan universiti memerlukan kos yang banyak.
Ditanya dakwaan sama ada ketiga-tiga pegawai itu terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah, Dr Anuar berkata Unisel tidak tahu mengenainya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengikut arahan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam semua perkara, beliau berkata perkara itu akan dilakukan termasuk dalam isu pelucutan jawatan terbabit.
"Kita sudah turunkan Khalifah sebagai pensyarah biasa manakala Rokmaa yang sebelum ini dipinjamkan akan kembali bertugas di Perbadanan Menteri Besar Selangor dan ia adalah arahan Menteri Besar sendiri.
"Kita sudah ada calon berpengalaman untuk mengisi jawatan Pendaftar manakala status Halid pula belum ditentukan termasuk pengganti tempat beliau," katanya.
Dr Anuar berkata perkara paling utama adalah untuk memastikan Unisel terus menjadi antara instusi pengajian tinggi terbaik di negara ini dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang setaraf antarbangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan