Rabu, 17 Ogos 2011

PAS terus berdialog dengan gereja

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat akan meneruskan pendekatan berdialog dengan pihak gereja seluruh negara walaupun sekarang ini berlaku sedikit kekeliruan hasil mainan akhbar pro Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Dr Mujahid Yusuf Rawa menegaskan, lajnah tidak akan duduk diam dalam usaha mempromosikan parti ke tengah masyarakat agar lebih dikenali bukan untuk dimusuhi.

"Lajnah tetap berusaha merapatkan PAS dengan semua gereja di Malaysia supaya masyarakat Kristian tidak salah faham dengan PAS. Sejak pendekatan itu dimulakan sambutanya amat membanggakan sekaligus membimbangi Umno dan BN," terangnya ketika ditemui di majlis berbuka puasa PAS Cawangan Permatang Tinggi 'C', petang semalam.

Mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor yang menyerbu gereja Methodist, Damansara Utama (GMDU) kononnya terdapat orang Islam dalam premis berkenaan, beliau berharap kedua-dua belah pihak tampil ke hadapan memberikan penjelasan supaya diatasi dengan baik.

Katanya, semua pertuduhan samar-samar dan memerlukan penelitian supaya PAS tidak terjerat dalam kancah ciptaaan musuh politik yang mahukan Pakatan Rakyat berpecah menjelang pilihanraya umum.

Pada sesi lalu tambah Dr Mujahid, lajnahnya berjaya menjalinkan hubungan mesra dengan paderi dan gereja di mana sambutannya memberangsangkan.

"Hubungan yang baik dan harmoni menyeramkan pihak lain, maka ada sahaja usaha menimbulkan prasangka yang tidak enak," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tiada ulasan: