Ahad, 14 Ogos 2011

P Pinang sambut baik tuan rumah 60 tahun PAS

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) menyambut baik cadangan PAS Pusat untuk mengadakan 'Sambutan 60 tahun PAS' di negeri ini.

Katanya, cadangan itu nanti bukan sahaja boleh mengembalikan nostagia penubuhan PAS sebaliknya boleh menyemarakkan semangat para pejuang kini untuk bekerja lebih keras memenangkan beberapa kerusi lagi yang PAS tandingi pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Beliau juga turut setuju agar sambutan berkenaan diadakan di Padang Putra Merdeka, Butterworth yang dulunya dikenali sebagai padang bandaran yang juga merupakan tapak asal penubuhan PAS tahun 1951.

"Kami di sini amat bangga cadangan tersebut sebab ia merupakan sejarah yang terpahat," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Namun begitu katanya, memandangkan masa yang agak suntuk sebab tarikhnya ditetapkan pada 1 Oktober 2011 maka mesyuarat berkaitan perlu diadakan segera untuk membincangkan beberapa kaedah yang patut diatur sebagai tuan rumah.

Baginya, peluang berkenaan akan digunakan sepenuhnya untuk membangkitkan semangat para ahli PAS di negeri ini agar belajar dari pengalaman orang dahulu yang senantiasa mengasak pemerintahan yang tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tambahnya, tanpa penyatuan hati ahli PAS waktu itu semuanya tidak menjadi kenyataan kerana PAS berpecah dengan Umno demi Islam.

"Para ulamak terdahulu melihat Umno dah menyeleweng dari sasaran maka mereka keluar menubuhkan PAS untuk selamatkan Islam daripada diperkudakan oleh musuhnya," ujarnya.

Tiada ulasan: