A Samad Said
|
KETIKA ini sebenarnya saya sedang hanya bersama Merjah—hewan khayalan saya. Kami meninggalkan sedetik tasik warga hewan yang damai itu. Sekali ini kami tidak bersama kumpulan pipit, merpati, rusa, monyet, kambing dan, ya, sang buaya! Memang saya bersama Merjah saja. Dan, di kafe mini di KL Sentral. Ada pesanan lara yang ingin saya sampaikan kepada wakil masyarakat hewan. Selama ini masyarakat insan tidak sedia menerimanya. Dan Merjah (yang wujud di mata saya dan ghaib di mata khalayak) sedia menerimanya. Dengan mewabakkan penyakit “warga segera” (kata saya kepada Merjah), maka berertilah kerajaan Umbarnas hanya berfikir tentang manfaat terkininya semata. Kerajaan tampaknya seolah tidak selesa berfikir tentang kesan tindak cemarnya itu. Ternyata, memang tidak cukup sekadar menyimbahkan “upahan segera” hampir ke setiap ceruk yang mudah terpujuk ternyata semakin galak dibudayakan. Orang memberi bukan ketika menjelang pilihan raya. Itu berbau rasuah. Orang berjanji ketika menjelang pilihan raya. Itu baru segak. Kalau kita tidak menyanggah wabak penyakit kongkalikong ini, (kata saya kepada Merjah yang separuh Merak separuh Gajah) berertilah kita bantu menjangkitkan penyakit manipulasi kuasa. Kita tohor. Malah kita kotor! Sebab, kita bantu mencipta kuasa demi memulakan—kemudiannya melestarikan—budaya gelumang dosa. Memang kini kita sudah pun sampai ke tahap kekalutan kuasa secemar-cemarnya. Kerajaan Umbarnas terus degil—enggan melayan saranan Bersih. Mereka seolah-olah sangat yakin terhadap tindakan matlamat menghalalkan cara. Ya, kuasa itu nikmat. Kata saya kepada Merjah: Cukuplah dekad kuasa elita bangsawan selama lebih lima dekad itu. Janji menyuburi ekuiti bangsa pun mereka gagal seburuknya? Malah keluhuran bahasa dalam Perlembagaan pun mereka langgari. Perlembagaan tidak murni? Dan banyak lagi senarai kebobrokannya. Mereka suburkan semangat kronisma senyala-nyalanya dan melahap dana negara seghairah-ghairahnya. Kita lalui lima dekad yang lahap! Makanya, cubalah menjadi anak lelaki yang sedia memungkinkan tafsiran kuasa terbaru. Jengahlah bagaimana kini Kerajaan India menangangi skandal ala Scorpene-nya dan memperelok landas demokrasinya. Rata-ratanya yang bergerak itu golongan bawahan—paling utama Anna Harare! Mereka sedang mempercantik wajah dan mempermurni batin bangsanya. Tidak mustahil kelompok daripada golongan murbawan kita juga berupaya menyembuhkan penyakit lahap kuasa yang sedang meraja-raja itu. “Oh” dengarlah “Jeritan Batinku.” Cukuplah dedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan untuk menerjemahkan erti kuasanya pula. Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa. Khusus kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih BERSIH! |
Selasa, 9 Ogos 2011
“Oh” Dengarlah “Jeritan Batinku”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan