Khamis, 25 Ogos 2011

Mana satu? Parlimen atau Dun?

JIka calon itu bertanding untuk kerusi Parlimen, beliau tidak boleh bertanding kerusi Dun dan begitulah sebaliknya.



PETALING JAYA: PAS Melaka memutuskan bahawa bakal calonnya hanya dibenarkan memilih satu kerusi sahaja untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 – Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun).

“JIka calon itu bertanding untuk kerusi Parlimen, beliau tidak boleh bertanding kerusi Dun dan begitulah sebaliknya.

“Dalam PRU 2008, beberapa calon PAS Melaka telah bertanding dua kerusi – Parlimen dan Dun. Malangnya mereka semua kalah,” kata Ketua Penerangannya Kamaruddin Sidek kepada FMT hari ini.

Namun kali ini katanya, lebih ramai calon muda akan diletakkan oleh PAS dalam PRU yang dijangka di adakan pada penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, PAS Melaka gagal menghantar senarai nama calon pilihan raya kepada PAS Pusat sebagaimana yang ditetapkan, 31 Ogos ini.

Katanya, PAS Pusat menghantar surat kepada semua PAS negeri supaya menghantar senarai nama calon untuk pilihan raya umum ke 13 selewat-lewatnya 31 Ogos.

“Memandangkan cuma ada masa kurang seminggu menjelangnya sambutan Hari Raya tidak mungkin kita boleh mengadakan mesyuarat terakhir untuk memilih nama calon itu. Jadi kita perlu menunggu sehingga dua atau tiga minggu untuk berbuat demikian.

“Kelewatan ini kerana polisi PAS yang perlu mendapatkan nama dari peringkat cawangan dan kawasan sebelum dipilih oleh PAS negeri untuk dihantar kepada PAS Pusat,” katanya.

Kamaruddin mengesahkan PAS akan bertanding di 13 kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen dalam PRU 13 sama seperti PRU 2008.

Belum runding dengan PKR

Menurut beliau lagi, PAS Melaka gagal mengadakan rundingan dengan PKR negeri itu mengenai pembahagian kerusi untuk PRU 13 kerana Pengerusi PKR negeri, Shamsul Iskandar Md Akin selalu ke luar negara.

“Ini yang menyebabkan PAS belum dapat mengadakan rundingan dengan PKR. Kita berharap ia boleh dibuat bulan depan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Melaka, Mohd Yusof Abdullah mengesahkan parti itu belum mengadakan rundingan dengan PAS.

“Saya akui kerana masalah Shamsul, rundingan ini tidak dapat dijalankan tetapi saya akan maklumkan kepada beliau secepat mungkin. Satu cara lagi ialah Shamsul mewakilkan kepada saya sebagai pengarah pilihan raya PKR negeri untuk berunding dengan PAS,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua parti PAS dan PKR, telah mengadakan rundingan peringkat pertama dengan rakan lain, DAP mengenai pembahagian kerusi di negeri itu.

Tiada ulasan: