Jumaat, 26 Ogos 2011

Majlis Peguam gesa siasat video Jais serbu gereja bocor

THE MALAYSIA INSIDER

KUALA LUMPUR — Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa menyiasat rakaman video mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya awal bulan ini.

Sambil mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri Selangor membentuk Jawatankuasa Pendengaran untuk menyelesaikan kontroversi itu, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) berkata, maklumat yang bocor itu harus disiasat kerana ia mendedahkan 12 individu beragama Islam hadir di gereja itu sambil menyifatkan ia “tidak wajar dan tidak dialu-alukan.”

“Sedangkan siasatan Jais masih lagi berjalan dan tiada laporan dikemukakan kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar, bagaimana bahan itu boleh didedahkan secara terbuka kepada umum, ia perlu disiasat kerana ia melanggar peraturan siasatan dan ini tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Maklumat siasatan Jais itu disiarkan di beberapa blog pro-Umno selain turut mendapat perhatian di alam siber.

Lim berkata pendedahan maklumat itu menyebabkan ia digunakan pihak tertentu demi kepentingan sendiri.

“Ini sangat tidak beretika dan tidak profesional dan tidak boleh diterima,” katanya.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Pendengaran yang dianggotai Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abdul Majid Omar.

Jawatankuasa itu dibentuk untuk menyiasat kontroversi dan menamatkan segala pertikaian yang wujud.

Lim berkata selain menyiasat insiden itu, jawatankuasa tersebut juga harus mengkaji semula bidang kuasa Jais dengan menggunakan enakmen-enakmen bukan Syariah dalam menilai tindakan agensi itu memasuki Gereja Methodist Damansara Utama, 3 Ogos.

“Persoalan serius sama ada Jais bertindak dengan kuasa yang ada atau melebihi bidang kuasa dan sama ada pemeriksaan itu dibuat mengikut undang-undang,” katanya.

Pegawai Jais dan polis telah melakukan pemeriksaan ke atas majlis makan malam muhibah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama selepas menerima maklumat ada kegiatan memurtadkan umat Islam.

Lim menggesa kerajaan negeri Selangor menambah bilangan anggota dalam jawatankuasa itu termasuk melibatkan wakil orang bukan Islam bagi menyelesaikan isu itu.

“Masalah ini perlu diselesaikan dengan inklusif dan perundingan secara terbuka,” katanya.

Tiada ulasan: