Selasa, 9 Ogos 2011

Lynas : SMM Janji Berjuang Habis-Habisan Demi Kesejahteraan Rakyat

Ditulis oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz


KUALA LUMPUR : Sebagai kesinambungan pelbagai gesaan sebelum ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini tampil bagi mendesak kerajaan menghentikan segera projek pembinaan loji Lynas di Gebeng yang boleh memberi kesan kepada keselamatan awam jika diteruskan.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abd Razab berkata, kerajaan tidak boleh meneruskan projek Lynas ekoran kesannya yang sangat merbahaya kepada rakyat di negara ini, apatah lagi kalau berlakunya kebocoran sisa radioaktif.

"Kita semua bergabung tenaga untuk memastikan isu ini dibawa sampai selesai, itu adalah jaminan dan apa yang boleh kita buat, kita sudah pun buat beberapa tindakan,"ujar beliau.

"Suka saya katakan bahawa isu ini adalah isu sejagat bukan isu Gebeng, isu Kuantan dan ini adalah isu kesihatan rakyat Malaysia.

"Dalam deklarasi hak manusia sejagat 1948, hak untuk hidup aman, hak untuk rasa selesa, hak untuk hidup dalam keadaan sihat, itu hak mutlak setiap manusia,"katanya lagi.

Terdahulu rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat melakukan bantahan berhubung projek di bawah firma Australia ini kerana bimbang akan masalah pencemaran hasil dari sisa radioaktif yang terkumpul dari kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Keluasan Lynas ialah seluas 140 buah padang bola dan kerajaan memberi pelepasan cukai selama 12 tahun untuk projek ini.

Projek yang dikatakan hampir siap itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Menurut Syukri, isu Lynas telah lama dibangkitkan oleh rakyat dan ia merupakan perkara serius yang akan memberi kesan berpanjangan terutama kepada generasi akan datang.

Beliau berkata demikian pada majlis forum 'Mahasiswa Selamatkan Rakyat' yang memberi fokus kepada isu pembinaan loji Lynas yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, semalam.

Forum tersebut turut dibarisi oleh Clement Chin Yee Kaing dari Save Malaysia dan Dr. Jayabalan yang merupakan pakar kesihatan awam.

Menurut Clement Chin,Lynas sangat berkait rapat dengan pelan induknya yang hingga ke hari ini dilihat tidak begitu kukuh.

"Sampai hari ini, mereka tidak ada langsung pelan induk bagaimana hendak melupuskan bahan radioaktif ini,"katanya.

Sementara itu, Dr. T. Jayabalan pula menegaskan jika Lynas tidak dihentikan segera, berkemungkinan peristiwa sama 20 tahun yang lepas di Bukit Merah akan berulang sekali lagi di negara ini.

"Kerana sedikit kebocoran akan menyebabkan kehancuran segala sistem dalam badan ini. Kesan kepada habitat, kita makan benda yang tercemar dengan bahan radiasi ini,"ujar beliau.

Lynas dilihat adalah 10 kali lebih kontroversi daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah yang ditutup 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Jayabalan berkata dalam masa lima tahun, kesan dari kilang di Bukit Merah sebagaimana didakwa penduduk telah menyebabkan lapan orang mendapat leukemia.

Sebelum itu tidak seorang penduduk penduduk terbabit yang mengalami leukemia dan akhirnya tujuh orang daripadanya telah meninggal dunia.

Selain itu, radiasi yang terkumpul dalam badan manusia juga akan menyebabkan kelahiran bayi yang cacat, kanser paru-paru, kerosakan sistem saraf-otak dan sebagainya.

Lynas mendapat penentangan daripada pelbagai lapisan masyarakat, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan mahasiswa antaranya SMM, Pro-Mahasiswa, Gabungan dan Mahasiswa Islam Semalaysia.

Tiada ulasan: