Isnin, 22 Ogos 2011

Lapan tuntutan Bersih 2.0 jadi rangka panel khas Parlimen


KUALA LUMPUR — Jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang ditubuhkan untuk meneliti sistem pilihan raya akan membentuk rangka kerjanya berdasarkan pada lapan tuntutan Bersih 2.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) berkata, perkara itu dipersetujui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil dari Dewan Rakyat, Jabatan Peguam Negara dan kedua-dua pengerusi dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami bersetuju dengan apa yang disyorkan dalam memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan,” kata beliau merujuk kepada Bersih 2.0 yang dianggotai 62 pertubuhan bukan kerajaan.

Walaupun beliau enggan menyebut nama Bersih, 2.0, Nazri mengakui apabila ditanya sama ada merujuk kepada “pertubuhan bukan kerajaan sah” yang membentuk gabungan tersebut.

“Tiada guna kita adakan jawatankuasa pilihan khas jika kita tidak lihat pada kesemua ini. Kami tidak mahu, sebagaimana (parti-parti pembangkang) mendakwa, dijadikan pembuka tirai,” kata beliau.
Nazri juga berkata jawatankuasa itu akan bertemu selama enam bulan.

Usul pembentukan jawatankuasa pilihan khas akan dibawa ke Parlimen 3 Oktober ini - hari pertama sidang akan datang dan ia juga tertakluk kepada kelulusan Kabinet.

Nazri juga berkata SPR juga akan mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet untuk pertimbangan pada mesyuarat 7 September ini.

Tiada ulasan: