Isnin, 15 Ogos 2011

KERANDA DAN BATU NISANKAH UNTUK SAIFUDDIN?

Oleh: HAJI MELAYU


Bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah itu dianggap sebagai satu daripada Trojan horse pembangkang bukanlah perkara baru. Telah lama orang bercakap mengenainya dan ia semakin dirasakan benar apabila anggapan itu disokong oleh beberapa kenyataan atau tindakan Saidfuddin sendiri.

Terkini ialah apabila Saifuddin sekali lagi menunjukkan bahawa dia tidak sependapat dengan sebahagian besar pemimpin BN dan Umno dalam membandingkan perhimpunan BERSIH 2.0

dengan rusuhan di kota London

.

Kebanyakan pemimpin UMNO, dengan rasminya burung belatuknya, memang sekata bahawa BERSIH 2.0 boleh bertukar menjadi rusuhan seperti yang terjadi di London.

“Saya tidak bersetuju dengan demonstrasi yang menyalahi undang-undang, tetapi saya tidak akan tidak bersetuju dengan tuntutan BERSIH dan saya juga tidak bersetuju bahawa BERSIH dibandingkan dengan rusuhan London,” itu yang ditegaskan oleh Saifuddin dalam satu forum anjuran ABIM di Kajang semalam.

Dalam forum yang sama, Saifuddin malah menganggap kerajaan telah gagal menangani tindakan BERSIH untuk berarak pada 9 Julai dengan mempertimbangkan kemungkinan satu perhimpunan aman seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Katanya, sesetengah orang tidak seharusnya begitu takut dengan perkataan “demonstrasi” sehingga mendapati bahawa walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi tetapi ia diberi nama atau labelkan dengan perkataan lain.

Dengan kenyataan itu, Saifuddin sebenarnya turut mengambil pendirian berbeza daripada bosnya, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, kelmarinberkata parti-parti gabungannya bersependapat bahawa rusuhan di London membuktikan bahawa tindakan keras kerajaan ke atas peserta BERSIH 2.0 adalah wajar.

Dalam budaya politik UMNO/BN, apabila anda memberi pendapat yang bertentangan dengan ‘akidah dan amalan’ pemimpin-pemimpin utama anda, maka kemungkinan untuk anda menjerut tali ke leher sendiri amatlah cerah.

Saifuddin sendiri tentu tahu risiko yang menantinya, lebih-lebih lagi dalam saat-saat di mana negara dipercayai akan menghadapi pilihan raya umum dalam tempoh yang tidak begitu lama lagi.

Dengan lain bahasa, Saifuddin mempertaruhkan kerusinya apabila membuat kenyataan-kenyataan seperti itu.

Bagaimanapun bagi mereka yang menghargai keberanian dan kebebasan memberikan pendapat, pandangan Saifuddin selayak-layaknya dialu-alukan. UMNO/BN sepatutnya memberi lebih banyak tempat dan ruang kepada pemimpin seperti ini.

Tetapi percayalah, berdasarkan pengamatan saya perkara seperti itu tidak berlaku. Apa yang selalunya disediakan oleh UMNO/BN kepada pemimpin seperti Saifuddin ialah keranda dan batu nisan.

Tiada ulasan: