Jumaat, 5 Ogos 2011

Kenapa IC merah bertukar biru kurang 24 jam

Hazayani Zakaria


SHAH ALAM: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.

Tiada ulasan: