Khamis, 4 Ogos 2011

Kematian misteri 10 pekerja SFC di Bakun

Penduduk tempatan percaya kejadian berlaku akibat perbuatan 'penunggu' di kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun.



BELAGA: Kematian 10 pekerja ‘Sarawak Forestry Corporation’ (SFC) yang terlibat dalam operasi memindahkan binatang liar yang tinggal di kawasan yang hampir ditenggelami takungan air empangan Bakun kini dianggap satu kejadian misteri.

Ketika pihak berkuasa belum dapat mengesahkan sama ada punca kematian itu akibat kencing tikus, penduduk tempatan pula percaya kejadian berlaku akibat perbuatan ‘penunggu’ di kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun.

Kes terbaru membabitkan seorang pekerja SFC, Larry Kiding, 28, yang tiba-tiba jatuh sakit selepas menyertai operasi memindahkan binatang liar yang tinggal di kawasan yang hampir ditenggelami takungan air empangan Bakun.

Doktor yang melakukan bedah siasat ke atas Larry sehingga kini belum dapat mengesahkan punca kematian pekerja SFC itu dan perkara ini mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Selain 10 pekerja SFC yang dilaporkan telah terkorban, kini seorang ketua masyarakat dari Sungai Asap di Belaga pula dilaporkan sakit tenat dan dikatakan mengalami simtom yang sama.

Lebih 10,000 penduduk, terutama golongan Pagan, percaya ‘penunggu’ mengamuk akibat kemusnahan alam sekitar yang berlaku ekoran pembinaan Bakun.

“Penunggu sudah memberi amaran awal tahun ini apabila ratusan tan ikan ditemui mati di Bakun dan apabila tiada sebarang tindakan dilakukan, kini ia meragut nyawa manusia,” kata Jok Ngau.

Jok, 54, yang bekerja sendiri memberitahu, beberapa amaran yang hanya difahami penduduk setempat telah ‘dikeluarkan’ penunggu namun kerja-kerja penakungan air tetap diteruskan tanpa mempertimbangkan pendapat dan sensitiviti penduduk.

“Kita di sini masih tinggal di dalam hutan dan beberapa ‘peraturan alam’ perlu dipatuhi supaya semangat atau penunggu itu tidak mengamuk,” tambahnya.

Selain kematian misteri serta berpuluh-puluh tan ikan yang dijumpai mati di Bakun, beberapa fenomena ganjil juga berlaku sebelum dan selepas bermula operasi penakungan air Bakun.

Penduduk setempat memberitahu haiwan liar di kawasan itu berkelakuan ganjil selain berlaku musim kemarau luar biasa serta

longgokan kayu hanyut yang menyebabkan Sungai Baleh dan Rajang seperti longkang sumbat.

Ketika isu ini hangat diperkatakan, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Bakun Dr Ellie Luhat pula mencetuskan kontroversi dengan menuduh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berbuat apa-apa untuk menyiasat punca penyakit misteri itu.

Tiada ulasan: