Sabtu, 6 Ogos 2011

Jeff Ooi Diberi Amaran Keras

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Anggota jawatankuasa pusat DAP dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dilepaskan dari sebarang tindakan disiplin, namun beliau tetap diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin parti kerana mengkritik ahli parti yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai, dalam media.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai berkata, selepas mendengar keterangan Jeff Ooi di ibu pejabat parti itu semalam, jawatankuasa memutuskan untuk mengeluarkan 'amaran keras' terhadap beliau, yang juga Ketua Staf Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Beliau telah melanggar disiplin parti dengan menggunakan media tanpa menggunakan semua saluran dalaman yang ada. Ini telah mencemarkan nama parti." kata Kok Wai kepada pemberita selepas pendengaran itu.

Sebelum ini, Jeff Ooi telah berbalas kenyataan di media dengan rakan ahli DAP, Hon Wai, yang juga Exco Perumahan Pulau Pinang berhubung kegagalan mendapatkan data lengkap mengenai pemohon-pemohon apartmen kos rendah di Batu Lanchang.

Malah, Jeff Ooi didakwa bersikap keterlaluan kerana menggesa Wong meletakkan jawatan.

Pertikaian itu diketahui umum apabila Hon Wai mendakwa Jeff Ooi tidak membuat penyelidikan semasa menyerahkan senarai nama 178 orang yang memohon untuk membeli rumah kos rendah di kawasannya.

Jeff Ooi kemudian menjawab dengan menyatakan 'tuduhan itu tidak berasas' dan menggesa Wong yang beliau labelkan sebagai 'Napoleon kecil', meletakkan jawatan.

Menjelaskan mengenai keputusan jawatankuasa itu, Kok Wai berkata, Jeff Ooi diberi amaran keras kerana perbuatannya menggelar Hon Wai dengan panggilan tidak baik adalah ‘contoh tidak baik kepada orang ramai.

"Jeff Ooi sebagai seorang MP (Ahli Parlimen) dan ketua staf Lim Guan Eng sepatutnya bertindak sebagai seorang pemimpin parti yang tahu untuk memaparkan perpaduan antara rakan sekerja dan menggunakan saluran sesuai untuk membangkitkan isu.

"Reputasi DAP yang telah dibina dengan susah payah lebih 46 tahun, boleh dimusnahkan dengan mudah melalui tindakan sebegini," katanya.

Tiada ulasan: