Ahad, 14 Ogos 2011

Jais serah laporan awal isu gereja kepada MB Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah menyerahkan laporan awal berhubung tindakan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama awal bulan ini kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan itu mengandungi maklumat mengenai bagaimana pemeriksaan, menurut Jais, telah dilakukan dan mereka yang berada di dalam gereja tersebut. Gereja Methodist Damansara Utama masih mempertahankan premis itu diserbu oleh Jais.

Mingguan Malaysia melaporkan laporan itu diserahkan kepada Khalid (gambar) minggu lalu. “Laporan yang dihantar kepada Menteri Besar hanya laporan awal dan laporan lengkap sedang disiapkan.

“Selepas siap kita akan hantar laporan itu kepada pihak berkenaan,” kata sumber itu dipetik akhbar tersebut.

Rabu lalu, Khalid berkata kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap Jais berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Jelas Menteri Besar, pihaknya telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai serbuan ke atas ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Tambah beliau, laporan terperinci itu termasuk hasil siasatan ke atas kesemua 12 individu beragama Islam, yang dilapor berada di gereja ketika serbuan.

“Kerajaan negeri Selangor telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

“Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan,” katanya.

Menurut Khalid, beliau difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan 12 individu itu yang tidak hadir membantu siasatan.

“Kami difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan daripada 12 orang tersebut kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam mereka.

“Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 orang Islam yang terlibat,” katanya menambah akan menyerahkan perkara itu kepada pakar undang-undan Jais untuk memberikan khidmat nasihat

Tiada ulasan: