Selasa, 16 Ogos 2011

Himpunan FORKAD & BONGKAR pada 20 Ramadhan


Iklim politik tanahair semakin berkabut tatkala menghampiri musim pilihanraya umum. Bermula dengan terdedahnya penyelewengan dan kepincangan SPR, membuatkan agensi yang menjadi anak emas kerajaan Barisan Nasional itu bungkam dan melatah tidak menentu tarinya. Lebih menarik, UMNO dan Barisan Nasional juga gagal menyembunyikan wajah dan laku panik mereka apabila turut bingkas tidak menentu sasarnya.

Menyedari kabut kepincangan SPR semakin ketara, isu murtad dicetuskan untuk memberi ruang bernafas kepada UMNO dan Barisan Nasional bersama agensi mereka [SPR] yang semakin longlai.

Tidak semena - mena UMNO bangkit laksana Panglima Lekir memencak kononnya mempertahankan Islam, mengambil kesempatan di atas insiden yang berlaku antara JAIS dan Gereja. Tindakan mereka mendapat liputan media dan rakyat khasnya pengundi melayu seperti teralih kepada mereka seperti mereka menemui hero baru yang tampil mempertahankan aqidah ummah.

Memahami 2 isu penting ini sedang melanda masyarakat, Dewan Pemuda PAS Malaysia mesti tampil dengan langkah berkesan agar kepincangan SPR jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja sehingga pengundi terus dimanipulasi untuk kemenangan UMNO dan Barisan Nasional secara tidak bermaruah. Namun dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak mahu dilihat lemah, bacul dan hilang taring dalam mempertahankan aqidah dan maruah ummah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui mesyuaratnya pada 13 August 2011 lalu telah bersetuju untuk memanggil organ tertentu dalam Dewan Pemuda PAS untuk diberi penjelasan dan arahan bertindak agar Dewan Pemuda PAS benar - benar berupaya menangani 2 isu ini dan pula ia ditangani secara berkesan dan bijak. Berasaskan keputusan tersebut, maka satu projek akan dilangsungkan seperti keterangan di bawah :

Projek : Himpunan FORKAD dan BONGKAR
: FORKAD = Front Bertindak Anti Murtad
: BONGKAR = Bongkar Kepincangan SPR

Tapak Projek : Dewan Majlis Bandaran MPKj Bandar Kajang Selangor Darul Ehsan.
Tarikh Pelancaran : 20 August 2011 bersamaan 20 Ramadhan 1432
Hari dan Masa : Sabtu jam 09.00 am hingga 02.00 pm

Sasaran Projek :

a] Anggota Jawatankuasa Harian DPP Negeri
b] Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan
c] Ketua Penerangan DPP Kawasan
d] Pengarah Jabatan Pilihanraya DPP Kawasan

Tema : Faham, bongkar, bertindak dan menang.
Matlamat dan Objektif
Matlamat Projek : mMemantapkan kefahaman jentera DPP dan memastikan sekurang - kurang 60% pengundi mendapat maklumat yang tepat menjelang musim pilihanraya umum ke 13 ke arah mengekalkan sokongan dan menambahkannya kepada kadar boleh menang demi masa depan agama dan negara.

Objektif Projek :
a] Membekalkan maklumat yang benar dan tepat kepada jentera DPP
b] Melancarkan produk [bahan kempen] dan membekalkan ole - ole Balik Kampung
c] Menyelaraskan arahan bertindak dan manual gerakkerja
d] Membina jaringan maklumat yang tepat dan lebar serta jalinan tenaga yang berkesan
e] Mengaktifkan jentera penerangan dan pilihanraya mendepani PRU ke 13

Dua kertas kerja akan dibentangkan sepanjang program ini dijalankan iaitu Kertas Kerja pertama bertajuk “Pemuda Menangani Gejala Riddah di Malaysia : Peranan Forkad” manakala kertas kerja kedua bertajuk “Membongkar Kepincangan SPR”

Sekian, wassalam

Yang benar,

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pengarah Himpunan FORKAD dan BONGKAR

Tiada ulasan: