Ahad, 14 Ogos 2011

‘Gula-gula’ Aidilfitri dari Najib

Pemberian RM200-RM400 kepada para peneroka Felda tidak memadai dengan kadar kerugian hasil perahan kelapa sawit.



TELOK KEMANG: Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato’ Kamarul Baharin Abbas menyifatkan pemberian duit Hari Raya Aidilfitri kepada para peneroka oleh Felda sebagai ‘gula-gula.’

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian RM400 untuk peneroka bersama Felda dan RM200 untuk peneroka yang tidak bersama Felda.

Kamarul berkata, “amaun ini tidak memadai dan mencukupi jika dibandingkan dengan kadar kerugian hasil perahan kelapa sawit dan hasil tebang pokok getah oleh peneroka.

“Peneroka sebenarnya berhak memperoleh sehingga RM458,000.00 yang boleh dituntut hasil kerugian selama 15 tahun akibat penipuan

Kadar Gred Perahan Asas (OER) buah kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal.

“Kes ini telah pun dibawa ke mahkamah oleh 766 peneroka Felda Serting, Negeri Sembilan dengan tuntutan RM2 juta dan 964 peneroka di Felda Jengka dengan tuntutan RM458,000.

Ini bermakna jumlah wang yang berhak diperoleh peneroka melebihi RM200 – RM400 seperti yang diumumkan Najib”, kata Kamarul.

Kamarul menjelaskan peneroka ditawarkan oleh pengurusan Felda sebanyak RM3,000.00 seekar untuk pokok getah yang akan ditebang dan setiap peneroka mempunyai 10 ekar.

“Terdapat kontraktor sanggup membeli pokok getah sehingga RM8,000.00 seekar tetapi Felda tidak membenarkan pokok getah dijual dengan harga tersebut.

“Jika pengurusan Felda yang tebang dan jual, peneroka bakal menerima
RM30,000.00 untuk setiap 10 ekar. Sebaliknya jika peneroka

yang lakukan sendiri akan dapat RM80,000.00 untuk setiap 10 ekar. Ini menyebabkan setiap peneroka kerugian sehingga RM50,000.00 yang boleh menjadi wang saku tambahan mereka,” jelas Kamarul lagi.

Wang tanam semula dinafikan

Kamarul turut membidas Najib dan Felda dalam isu penanaman semula apabila jika ada peneroka memilih untuk menanam semula, maka

Felda hendaklah mengembalikan dana dari Tabung Penanaman Semula sejumlah RM17,000.00 kepada setiap peneroka.

“Namun sehingga hari ini Felda gagal menjelaskan isu dan pembayaran ini. Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah memerintahkan Felda membayar kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2, Kelantan sejumlah RM1.2 juta dari dana Tabung Penanaman Semula ini.

“Ini bermakna mahkamah telah mengesahkan berlakunya penipuan oleh Felda terhadap peneroka. Maka wang Hari Raya sekadar RM200

– RM400 kepada peneroka Felda jelas tidak dapat menutup pembohongan
dan penindasan Felda selama ini terhadap peneroka.

“Akhirnya Felda terpaksa meminjam sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kononnya untuk membiayai kos tanam semula.

“Tetapi bagaimana pula dengan dana asal Tabung Penanaman Semula yang dicarum oleh peneroka untuk proses tanaman semula? Kemanakah hasil tabungan tersebut?,” soal beliau.

“Felda harus menjelaskan perkara ini secara terperinci,” desak Kamarul.

Kamarul menegaskan jika ini yang berlaku, tidak mustahil peneroka akan terus menerus menyaman Felda akibat salah urus tadbir dan korupsi yang berlaku.

Kamarul menggesa agar pentadbiran Felda bersikap telus dalam usaha memperkukuhkan urus tadbir yang baik dan merakyatkan ekonomi.

“Hak peneroka Felda selaku rakyat yang sah dalam negara kita serta diiktiraf oleh Perlembagaan harus dihormati oleh pihak Felda,” tegasnya.

Justeru ‘gula-gula’ wang hari raya yang tidak setimpal seumpama ini harus diperbetulkan dengan dikembalikan semula hak serta wang pampasan yang secukupnya terhadap kerugian yang ditanggung oleh peneroka Felda akibat kecuaian urus tadbir Felda itu sendiri.

Tiada ulasan: