Isnin, 15 Ogos 2011

DAP sedih dengan perkauman Perkasa

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – DAP sedih kerana masih ada segelintir ekstremis mahu menghancurkan keharmonian rakyat Malaysia dengan ancaman dan ugutan serius.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata, ugutan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali terhadap Kerajaan Pusat agar mengambil tindakan terhadap DAP yang kononnya terlibat dalam ‘konspirasi Kristian,’ adalah tidak wajar.

“Tuduhan Ibrahim terhadap DAP hanya berdasarkan rasa emosi, bukan dengan fakta yang kukuh. Konspirasi itu juga fitnah besar.

“DAP sedih dengan kenyataan itu dan menegaskan bahawa kami tidak pernah sama sekali membelakangi kepentingan semua kaum, agama, budaya mahu pun bahasa mana-mana masyarakat di Malaysia,” katanya.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menegaskan keahlian penganut Kristian di dalam DAP adalah yang paling sedikit berbanding penganut Hindu dan Buddha serta kepercayaan kaum Cina.

“Ini adalah kerana Kristian bukan agama popular dalam keahlian DAP. Jadi, macam mana DAP boleh mengadakan konspirasi seperti apa yang Ibrahim tuduh itu?” kata Exco Kanan Kerajaan Selangor itu yang juga beragama Kristian.

Semalam, media melaporkan Ibrahim mengugut akan mengambil tindakan dan “kerajaan tidak harus menyalahkan Perkasa” jika kerajaan tidak menyelesaikan isu ‘konspirasi Kristian’ selain menuduh perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu sebagai tidak sah dan mendakwa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam rakaman video seks.

Justeru, Teresa mempersoalkan kenapa Ibrahim kerap membangkitkan isu-isu sensitif bertujuan memecahbelahkan keharmonian rakyat Malaysia.

“Kalau mahu cari publisiti murah pun, janganlah sampai membangkitkan kemarahan antara kaum dan agama,” katanya.

Jelasnya, sejak penubuhan Perkasa, kenyataan dan tindakannya amat agresif dan bersifat mengelirukan rakyat Malaysia, tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa.

Beliau memberi contoh pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru anjuran Perkasa 19 Jun lalu, Ibrahim telah menghentam perhimpunan Bersih dengan membakar gambar Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreevenasan dan menggambarkannya sebagai “wanita Hindu yang merbahaya.”

“Adakah kekerasan sebegini melambangkan ‘perjuangan’ Perkasa? Adakah Perkasa mewakili semua orang Melayu di Malaysia?” kata Teresa.

Tiada ulasan: